Kerajaan pertimbang haramkan Waze – PM

Kerajaan pertimbang haramkan Waze – PM

ANWAR Ibrahim ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Ampang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi Waze yang dilarang penggunaannya dalam ka­langan penjawat awam berkemungkinan akan diharamkan sepenuhnya daripada digunakan di negara ini.

Langkah tegas tersebut kini dalam per­­timbangan kerajaan namun ia akan me­ngambil kira terlebih dahulu keupa­yaan aplikasi alternatif tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ib­rahim berkata, perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kerajaan memahami kon­tro­versi yang timbul susulan kepu­tu­san ber­kaitan larangan penggunaan Waze, khususnya berhubung kelemahan al­ternatif tempatan yang tersedia ketika ini.

“Itu kita kena kaji apa alterna­tif­nya. Kalau sudah kita tengok keupa­yaan kita cukup baik maka kita mungkin menentukan kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali.

“Kontroversinya kerana lembabnya al­ternatif. Saya setuju tetapi keputusan ki­ta bukan kontroversi, ini soal kesela­ma­tan negara,” katanya kepada pembe­rita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, Ampang, semalam.

Kerajaan sebelum ini memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, langkah tersebut bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Jelasnya, keputusan tersebut mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

Pada masa sama, Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan apli­kasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan se­perti TuJu.

Sementara itu, Anwar ber­kata, tindakan terhadap Waze dibuat selepas maklumat berhubung lokasi ibu pejabat serta perjanjian penggunaan aplikasi itu disemak dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan beliau.

Jelasnya, semakan itu mendapati ibu pejabat Waze berpangkalan di Israel manakala perjanjian penggunaannya tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.

“Sebab kalau sudah gunakan Waze maknanya secara au­tomatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi kita jangan buat silap itu. Itu yang menyebabkan mengapa saya ambil tindakan yang agak spontan. Saya kata hendak tangguh satu hari pun tidak boleh,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan ti­dak boleh berkompromi da­lam soal keselamatan negara hanya kerana alternatif tempatan belum mempunyai kemudahan yang lengkap.

Beliau berkata, pengguna boleh beralih kepada aplikasi lain yang berpangkalan di Malaysia walaupun keupayaannya belum secanggih Waze se­mentara penambahbaikan dilakukan.

“Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada Israel. Itu yang penting difahami,” katanya.

Mengulas kritikan keputusan itu dibuat secara terburu-buru, Perdana Menteri berkata, beliau memahami kesulitan yang mungkin dihadapi pengguna namun keselamatan negara perlu diutamakan.

“Walaupun saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh, saya kata tidak apalah, kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf tetapi bagi saya, keselamatan negara lebih penting.

“Walaupun saya tahu TuJu itu ada kelemahan. Gunalah yang lain-lain tetapi sabarlah kejap carilah jalan, jauh sikit tidak apalah. Daripada serah maklumat kepada Israel,” katanya.

Berhubung gesaan DAP supaya keputusan larangan penggunaan Waze disemak semula, Anwar berkata, perkara itu te­lah dijelaskan semasa mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet.

Beliau berkata, pimpinan DAP yang hadir ketika penjelasan itu diberikan, termasuk Pengerusi Kebangsaan parti itu, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook bersetuju dengan pendirian berkenaan.

“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soal dia. Kalau nak serah maklumat kerajaan, saya tak benarkan sama sekali,” katanya lagi.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi tempatan TuJu itu sebagai ‘memalukan negara’ kerana gagal berfungsi dengan baik dan menyusahkan rakyat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini