SHAH ALAM: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) melancarkan Hab Body & Paint pertamanya di Glenmarie, Shah Alam dengan keluasan 41,508 kaki persegi, menjadikannya antara pusat pembaikan badan dan cat terbesar di negara ini.
Hab berkenaan dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat kebuk semburan cat bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan selepas jualan syarikat.
Kemudahan itu menyokong operasi automotif pelbagai jenama EON dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) smart, manakala Proton e.MAS dijangka menyertai portfolio berkenaan tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pembukaan hab itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh sokongan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
“Di EON, hubungan kami dengan pelanggan tidak berakhir apabila kenderaan baharu dibawa keluar dari bilik pameran.
“Kami percaya setiap titik interaksi sepanjang perjalanan pemilikan merupakan peluang untuk kami memberikan nilai, membina kepercayaan dan mewujudkan pengalaman yang bermakna.
“Hab Body & Paint baharu ini membolehkan kami merealisasikan perkara tersebut,” katanya pada majlis pelancaran hab berkenaan di sini semalam.
Menurut beliau, hab itu mematuhi sepenuhnya prosedur dan proses EON bagi memastikan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti dan menyeluruh kepada pelanggan.
“Pusat berkenaan dilengkapi teknologi pembaikan moden serta disokong tenaga kerja profesional terlatih bagi menyediakan perkhidmatan termasuk pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan dan kemasan semula cat.
“Kemudahan itu bertujuan memastikan kenderaan dipulihkan kepada keadaan optimum dengan mengekalkan standard keselamatan, kualiti dan estetika.
“Hab berkenaan turut menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan pembaikan dan pemulihan kenderaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, EON sedang meneroka peluang memperluas rangkaian Hab Body & Paint ke beberapa lokasi strategik yang mempunyai kehadiran kukuh operasi pelbagai jenama syarikat.
“Langkah itu membolehkan EON memanfaatkan rangkaian sedia ada, selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan selepas jualan bagi pelanggan merentasi portfolio automotifnya.
“Pengembangan rangkaian berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha EON memperkukuh ekosistem selepas jualannya dengan menyediakan penyelesaian penjagaan kenderaan merentasi jenama di bawah operasinya,” ujarnya. -UTUSAN











