PARLIMEN: Majlis pecah tanah projek pembangunan Kg. Sungai Baru hujung tahun ini 

PARLIMEN: Majlis pecah tanah projek pembangunan Kg. Sungai Baru hujung tahun ini 

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru akan dilaksana pada hujung tahun ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerja-kerja pembinaan pula dijadual bermula pada suku pertama 2025.

Katanya, pihaknya sudah bertemu dengan kedua-dua pihak di bangunan pejabat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan mendengar  setiap penjelasan dan harapan yang disuarakan.

Bagaimanapun katanya, setelah pertimbangan dibuat, beliau berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Antara asas pertimbangan adalah apabila urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan di antara 10 hingga 15 peratus oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Golongan minoriti sudah diberi penempatan sementara dan juga pernah diberi peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan lebih besar, selesa dan nilai jaminan yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjian dengan pemaju,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung status terkini projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru dan tindakan yang diambil terhadap pemaju projek.

Sebelum itu, Dr. Zaliha sempat menyindir Shahidan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dengan menyatakan pertanyaan itu ibarat peribahasa ‘sudah gaharu cendana pula, sudah pun tahu bertanya pula’.

“Pertanyaan ini akan saya jawab dengan ringkas kerana saya percaya kebanyakan perkara sudah pun dalam pengetahuan Yang Berhormat Arau,” katanya.

Katanya, projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru yang tertangguh isu legasi diwarisi beberapa pentadbiran kerajaan daripada latar belakang parti politik yang berbeza.

Oleh itu, katanya, projek pembangunan semula itu memerlukan tekad politik jika mahu diselesaikan dengan segera.

“Hala tuju kepada projek ini memerlukan keputusan yang objektif, bukannya keputusan populis semata-mata, sebagaimana yang sering dicanangkan oleh mantan yang lain.

“Dalam masa enam bulan sejak saya menerajui Wilayah Persekutuan, projek pembangunan semula yang sudah terbengkalai menginjak ke tahun kelapan, kini akan bakal dapat dimulakan sedikit masa lagi,” katanya.

Menjawab soalan berhubung jumlah pampasan yang dibayar, Dr. Zaliha berkata, bagi rumah pangsa pampasan adalah sebanyak RM198,000 hingga RM350,000, manakala rumah teres adalah RM800,000 hingga RM2.9 juta yang dibuat oleh agensi sah.

Dr. Zaliha turut menegaskan, Kampong Bharu akan kekal sebagai simbol kemajuan orang Melayu di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan akan menjadi ikon komersial orang Melayu pada masa hadapan.

“Bagi tujuan ini, saya akan memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 akan dilaksanakan secara telus dan mampan,” katanya.

Pada 5 November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru di sini, tidak ditangguh lagi selepas tertangguh sejak enam tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN