Pembangunan semula lebih menguntungkan penduduk

Pembangunan semula lebih menguntungkan penduduk

ZALIHA Mustafa melihat replika projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru selepas majlis pecah tanah di Kampung Sungai Baru, semalam. UTUSAN SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebenarnya lebih menguntungkan daripada me­rugikan kerana pemaju KL City Gateway Sdn. Bhd. tidak pernah memungkiri komitmen dijanjikan mereka sejak awal,”.

Demikian menurut pemilik rumah teres dua tingkat di Kampung Sungai Baru, Sabariah Amran, 61, yang teruja dengan kemajuan projek yang kini sudah di fasa pecah tanah.

Dia menzahirkan kesyukuran kerana selepas tujuh tahun menandatangani perjanjian de­ngan pemaju, kini rumah diidamkan hanya selangkah daripada kenyataan.

Katanya, dia menerima sebanyak RM2,500 sebulan daripada pemaju sebaik sahaja mengosongkan kediamannya selepas menandatangani perjanjian.

“Berdasarkan perjanjian, pe­ma­ju akan memberikan tiga unit kondominium kepada pemilik rumah teres lot tengah, tetapi saya adalah pemilik rumah teres lot tepi yang keluasaannya sekali ganda lebih besar.

“Jadi, apa yang saya akan terima daripada pemaju kelak adalah dua kali berbanding pemilik rumah teres lot tengah. Keluasan rumah dijanjikan adalah dua unit berkeluasan 1,200 kaki persegi dan empat unit berke­luasan 996 kaki persegi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi pemilik, Noraliza Ayub, 61, yang berpindah ke rumah transit di Residensi Kerinchi sejak 2016 berkata, walaupun rumah transit selesa dengan pelbagai kemudahan, beliau berharap dapat kembali ke Kampung Sungai Baru sebaik kediaman dijanjikan siap.

“Keluarga saya pemilik unit flat dua bilik di Blok B. Apabila projek siap, kami akan digantikan dengan unit berkeluasan 1,200 kaki persegi. Saya terharu sangat seronok kerana hajat kami ditunaikan. Kami berharap projek ini disiapkan segera agar kembali sebagai komuniti Kampung Sungai Baru,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, yang juga anak pemilik hartanah di kawasan berkenaan, menzahirkan kesyu­kuran.

Beliau menghargai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa kerana berjaya menyelesaikan isu yang berlarutan hampir 10 tahun.

“Penduduk perlu memantau perkembangan projek dan memastikan pemaju menyiapkan projek mengikut kualiti dan masa ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, majlis pe­cah tanah itu diganggu cubaan kekecohan apabila empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim ditahan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata tangkapan dilakukan hasil maklumat perhimpunan pada pukul 8 pagi yang didakwa bertujuan mencetuskan rusuhan dan pecah keamanan di tapak projek.

Empat individu berusia an­tara 39 hingga 47 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, ditahan di sekitar lokasi kejadian.

“Semasa ditahan, mereka menjerit-jerit sehingga mengganggu keselamatan majlis. Penahanan adalah langkah pencegahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah kerana disyaki mendalangi perhimpunan susulan seruan Rafidah Ibrahim di media sosial TikTok pada 28 November lalu,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan lanjut terhadap individu terbabit dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN