273 pemilik terlibat proses cabut undi projek pembangunan semula Kg. Sungai Baru

273 pemilik terlibat proses cabut undi projek pembangunan semula Kg. Sungai Baru

SANITA Yunus (kiri) selepas terlibat dalam proses cabutan undi melibatkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 273 orang pemilik dan pewaris hartanah terlibat dalam proses cabutan undi melibatkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus berkata, majlis dianjurkan KL City Gateway Sdn. Bhd.⁠ itu membolehkan pemilik yang terlibat menentukan unit gantian masing-masing mengikut mekanisme yang dipersetujui menerusi perjanjian usaha sama.

Katanya, pelaksanaan cabutan undi tersebut bukan hanya proses pentadbiran malah menjadi simbol kemajuan sebenar projek yang telah lama dinantikan penduduk.

“Projek ini mampu bergerak ke hadapan hasil kerjasama erat antara pemaju, pemilik hartanah dan semua pihak yang berazam untuk melihat Kampung Sungai Baru dibangunkan semula.

“Proses cabutan undi yang diadakan secara terbuka itu melibatkan pemilihan unit kondominium moden yang dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf lima bintang, sekali gus memberi keyakinan kepada pemilik bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah KL City Gateway Sdn. Bhd, Abdul Hadi Ahmad, berkata keputusan cabutan undi adalah muktamad dan dilaksanakan mengikut garis panduan yang dipersetujui semua pihak.

“Selepas proses undi, pemilik yang terlibat akan melalui proses penyempurnaan dokumentasi sebelum unit gantian masing-masing disahkan secara rasmi,” katanya.

Beliau menegaskan pihak pemaju komited memastikan keseluruhan projek pembangunan semula itu berjalan secara profesional dan bertanggungjawab.

Menurut Abdul Hadi, projek pembangunan semula itu menawarkan unit kondominium bersaiz antara 969 hingga 1,002 kaki persegi di bawah pembangunan Kelarai (Plot 1) dan Sutera, dengan harga pasaran bermula sekitar RM800,000 seunit.

Jelasnya, projek Kelarai menyediakan 580 unit keseluruhan dengan sebahagiannya diperuntukkan sebagai rumah ganti kepada penduduk asal manakala kira-kira 250 unit lagi akan dibuka untuk jualan awam.

Beliau turut menyatakan sasaran pembangunan itu adalah untuk meningkatkan nilai aset penduduk asal sehingga menjadikan lebih 300 pemilik tanah sebagai jutawan.

“Apabila rumah ini siap kelak, nilai minimum setiap unit dijamin bernilai RM1 juta,” katanya.

Bagi membantu penduduk asal menyesuaikan diri dengan kos kehidupan di kediaman baharu, pemaju turut menyediakan skim bantuan penyelenggaraan khas.

Walaupun kadar penyelenggaraan sebenar dianggarkan antara RM400 hingga RM500 sebulan, penduduk asal hanya perlu membayar 30 peratus daripada jumlah tersebut dari tahun kedua hingga tahun ke-10 selepas penyerahan unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN