Kampung tradisi Melayu akan terus terpelihara - Hannah

Kampung tradisi Melayu akan terus terpelihara – Hannah

HANNAH Yeoh bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui bergambar bersama pada hari pertama menjalankan tugas rasmi di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. - UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kepentingan kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur akan terus dipelihara.

Itu jaminan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, Hannah Yeoh bagi memastikan kampung-kampung tradisi itu terus terpelihara.

Menurutnya, pemeliharaan kampung tradisi merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian serius khususnya dalam landskap pembangunan bandar yang semakin pesat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad dan perlu dipelihara secara seimbang tanpa menafikan keperluan pembangunan bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melapor diri hari pertama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang langkah melibatkan kampung tradisi perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta proses pentadbiran yang jelas.

“Kalau nak cari bangunan-bangunan komersial, senang tetapi nak cari kampung tradisi sudah sukar. Tapi itu semua kita kena ikut undang-undang dan saya nak dapatkan taklimat dulu daripada agensi,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata sebarang keputusan melibatkan Kampung Baru dan kawasan sekitarnya tidak akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa maklumat lengkap daripada agensi berkaitan.

“Isu Kampung Baru bukan perkara baharu dan telah lama dibincangkan di pelbagai peringkat, termasuk di Parlimen, justeru memerlukan penelitian menyeluruh sebelum sebarang komentar dibuat.

“Yang keduanya mengenai isu Kampung Baru, isu PBT… yang itu semua kita tunggu taklimat dulu,” katanya.

Katanya, beliau memberi jaminan bahawa segala urusan dan dasar berkaitan Kampung Baru yang telah dilaksanakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan diteruskan selagi ia selari dengan kepentingan penduduk.

Pada masa sama, Hannah menegaskan bahawa suara Ahli Parlimen kawasan terlibat akan terus diambil kira dalam sebarang perancangan atau keputusan berkaitan kampung tradisi.

“Sebagai wakil rakyat, mereka memahami denyut nadi kawasan masing-masing dan itu adalah suara demokrasi yang wajar didengari,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau akan memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selamat untuk diduduki dan menjadi tempat bekerja tanpa mengira peringkat usia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×