Dalam landskap politik Malaysia mutakhir ini, politik Melayu semakin sinonim dengan pembentukan pelbagai gabungan dan perikatan parti. Sejak beberapa dekad lalu, kerjasama politik dianggap sebagai strategi penting bagi memenangi pilihan raya dan mempertahankan kuasa.
Namun persoalan yang semakin timbul adakah terlalu banyak gabungan atau banyak rumah ini benar-benar menguatkan politik Melayu, atau sebenarnya menyebabkan ia semakin lemah dan berpecah?
Selepas pasca PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terutamanya pakatan-pakatan yang membabitkan parti-parti Melayu ini kerap berubah. Apabila ada krisis dalam satu-satu parti maka muncul idea untuk wujudkan pakatan baharu.
Sebab itu munculnya Perikatan Nasional, Mufakat Nasional dan Musyuwarah Nasioanal. Selepas itu ada pula Payung Besar dan terbaharu adalah Rumah Bangsa.
Memang sejarah membukti untuk menjadi kuat, Melayu perlu bersatu. Terbukti apabila UMNO ditubuhkan yang berjaya menyatukan Melayu. Kemudian penyatuan itu dilibatkan parti-parti yang mewakili kaum lain membentuk Perikatan bagi mendapatkan kemerdekaan.
Ini menunjukkan untuk mencapai tahap kestabilan perlu ada satu pakatan dominan. Selepas merdeka Barisan Nasional (BN) menerajui negara dengan UMNO berperanan sebagai parti teras yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu sambil mengekalkan kerjasama dengan parti-parti mewakili kaum lain. Model ini berjaya mengekalkan kestabilan politik selama puluhan tahun.
Namun landskap politik berubah secara drastik selepas PRU14. Keputusan pilihan raya tersebut menyaksikan tumbangnya BN buat pertama kali dalam sejarah. Sejak itu, politik Melayu memasuki fasa baharu yang dicirikan oleh kemunculan pelbagai gabungan dan penjajaran semula parti.
Antara gabungan utama yang muncul termasuk Pakatan Harapan, Perikatan Nasional serta kerjasama politik lain yang bersifat sementara.
Kewujudan pelbagai gabungan ini pada satu sisi boleh dilihat sebagai usaha untuk menyatukan kekuatan politik Melayu. Parti-parti Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas cuba membentuk kerjasama bagi menggabungkan sokongan pengundi Melayu. Dari sudut strategi pilihan raya, kerjasama ini boleh mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang sering memecahkan undi.
Dalam sistem demokrasi berbilang parti, pembentukan gabungan sememangnya sesuatu yang normal. Ia membolehkan parti-parti kecil bergabung untuk meningkatkan pengaruh mereka. Dalam konteks politik Melayu, gabungan juga sering dijustifikasikan sebagai langkah untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam dalam sistem politik negara yang majmuk. Namun, terlalu banyak gabungan juga menimbulkan beberapa kesan negatif yang tidak boleh diabaikan.
Pertama, ia mencerminkan ketidakstabilan politik Melayu itu sendiri. Apabila parti-parti Melayu sentiasa bertukar gabungan atau membentuk pakatan baharu, ia memberi gambaran bahawa kesepakatan sebenar sukar dicapai. Perubahan penjajaran politik yang terlalu kerap boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Kedua, kewujudan terlalu banyak gabungan sebenarnya boleh melemahkan politik Melayu kerana ia menonjolkan persaingan sesama sendiri. Walaupun parti-parti Melayu sering menggunakan naratif perpaduan, realitinya mereka bersaing untuk menjadi kuasa dominan dalam kalangan pengundi Melayu. Persaingan ini kadangkala lebih sengit berbanding persaingan dengan parti bukan Melayu.
Ketiga, gabungan yang dibentuk atas dasar kepentingan jangka pendek juga sukar bertahan lama. Banyak kerjasama politik dibentuk semata-mata untuk menghadapi pilihan raya atau menubuhkan kerajaan.
Apabila matlamat jangka pendek itu tidak tercapai atau gagal, gabungan tersebut mudah berpecah. Keadaan ini akhirnya menyebabkan politik Melayu kelihatan tidak stabil dan sering dilanda konflik dalaman.
Selain itu, terlalu banyak gabungan juga boleh mengaburkan hala tuju perjuangan politik Melayu. Setiap parti mempunyai ideologi, pendekatan dan strategi berbeza. Ada yang menekankan nasionalisme Melayu, ada yang memberi penekanan kepada agenda Islam, dan ada juga cuba mengambil pendekatan lebih inklusif.
Apabila parti-parti ini bergabung tanpa kesepakatan ideologi yang jelas, gabungan tersebut mudah dilihat sebagai sekadar pakatan politik tanpa arah yang kukuh.
Kesan lain adalah keletihan politik dalam kalangan pengundi. Apabila terlalu banyak gabungan diwujudkan dan sering berubah, rakyat mungkin hilang keyakinan terhadap elit politik Melayu. Mereka melihat pemimpin lebih sibuk menyusun strategi kuasa berbanding menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Walau bagaimanapun, tidak semua gabungan membawa kesan negatif. Jika dibina atas dasar prinsip yang jelas, gabungan politik boleh menjadi platform penting untuk memperkukuh kedudukan politik Melayu. Gabungan yang stabil dan berdisiplin mampu menyatukan pelbagai kumpulan politik Melayu di bawah satu agenda bersama. Dalam keadaan ini, kerjasama politik boleh menjadi sumber kekuatan.
Kunci kepada kejayaan gabungan politik bukanlah jumlahnya atau pada namanya. Tidak kira sama ada ia Payung Besar, Rumah Besar atau Muafakat Nasional dan Musyuwarah Nasional yang penting mesti ada kestabilan dan keikhlasannya.
Jika parti-parti Melayu mampu mencapai kesepakatan mengenai prinsip asas seperti tadbir urus yang baik, pembangunan ekonomi dan kepentingan rakyat, gabungan tersebut berpotensi menjadi kekuatan besar dalam politik negara.
Tetapi jika semua itu diwujudkan untuk kepentingan peribadi, untuk mengekalkan kuasa dan demi ‘membunuh’ sesama Melayu maka ia tidak memberi sebarang makna
Jika gabungan hanya dibentuk untuk perebutan kuasa jangka pendek, ia hanya akan mempercepatkan perpecahan. Politik Melayu akhirnya akan dilihat sebagai medan persaingan elit politik, bukan sebagai alat untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat.
Kesimpulannya, terlalu banyak gabungan dan perikatan dalam politik Melayu adalah fenomena yang mempunyai dua sisi. Ia boleh menjadi kekuatan jika berjaya menyatukan pelbagai parti di bawah agenda yang jelas dan stabil. Namun dalam banyak keadaan, kewujudan terlalu banyak gabungan sebenarnya mencerminkan perpecahan dan persaingan dalaman yang melemahkan politik Melayu.
Masa depan politik Melayu bergantung bukan pada jumlah gabungan yang wujud, tetapi pada kemampuan pemimpin politik membina kesatuan yang tulen. Tanpa kesepakatan yang jujur dan matlamat yang jelas, sebarang gabungan hanya akan menjadi pakatan sementara yang akhirnya menambah lagi kerumitan dalam landskap politik Melayu.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










