PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Pemuda UMNO menolak gesaan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan bagi bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jeli, Wan Mahussin Wan Zain berkata, langkah itu tidak akan menguatkan UMNO atau menyelamatkan kepentingan orang Melayu, sebaliknya berisiko melemahkan pengaruh parti sahaja.
Beliau turut mempersoalkan jaminan kerjasama bersama Pas sekiranya UMNO kembali menyertai gabungan itu dan turut mengingatkan risiko mengulangi kesilapan sebelum ini.
“Siapa tidak suka penyatuan bangsa dan melihat orang Islam duduk bersama. Namun persoalannya, selama ini kita bertanding pilihan raya, UMNO lawan Pas, bukan DAP. Sama juga dengan Pas. DAP cari undi mereka, kita cari undi kita.
“Undi kita dalam kalangan Pas, pengundi Pas ada dalam UMNO, pengundi UMNO ada dalam Pas, tapi kita letakkan kesalahan pada DAP. Bagi saya, ini tidak adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Wan Mahussin, sekiranya UMNO membuat keputusan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan, tidak mustahil jika Pas pula akan mengambil pendirian menyertai kerajaan.
“Bayangkan, bila kita tarik sokongan dan kononnya mahu bersama Pas dalam MN, tiba-tiba Pas masuk Kerajaan Perpaduan. Kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini, kita kehilangan Pahang, kehilangan Perak dan tidak mustahil akan kehilangan banyak lagi tempat,” katanya. – UTUSAN










