MediAsas mampu atasi krisis kos insurans perubatan?

MediAsas mampu atasi krisis kos insurans perubatan?

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGENALAN pelan perubatan asas, MediAsas yang bakal dilancarkan pada Januari 2027 disifatkan sebagai langkah strategik yang berupaya merendahkan jurang kebolehaksesan insurans perubatan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini.

Langkah berkenaan menawarkan alternatif perlindungan asas yang lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini terbeban dengan kadar premium insurans perubatan konvensional yang tinggi.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, kejayaan jangka panjang MediAsas bagaimanapun bergantung kepada keupayaannya untuk memastikan kadar premium kekal berpatutan dan mampan dari segi kewangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MediAsas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi RESET yang lebih luas untuk menangani punca tekanan kos perkhidmatan kesihatan swasta.

“Nilai jangka panjangnya bergantung kepada sejauh mana ia dapat meluaskan akses perlindungan perubatan sambil kekal mampu milik serta lestari dari segi kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai punca utama peningkatan kos insurans perubatan di Malaysia, Ming Lee berkata, ia didorong oleh tekanan saling berkait merentas sistem kesihatan, termasuk model pembayaran hospital swasta dan peningkatan tuntutan ganti rugi.

Menurut beliau, amalan mo­del pembayaran perkhidmatan berasaskan caj (fee-for-service) di kebanyakan hospital swasta mewujudkan dorongan untuk mengenakan caj bagi setiap rawatan, ujian, atau prosedur secara berasingan.

“Ketidaktelusan dan ketidakseragaman dalam bil perubatan menyukarkan pesakit untuk memahami dan membandingkan caj, sekali gus menjejaskan usaha untuk meningkatkan kecekapan kos.

“Pada masa sama, masalah populasi menua dan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis serta tekanan darah tinggi menambah beban permintaan terhadap rawatan berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa reformasi struktur di bawah Strategi RESET, seperti pelaksanaan penyusunan bil berskala standard dan penetapan harga berasaskan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG), amat kritikal bagi menyokong kecekapan perkhidmatan ke­sihatan.

Menyentuh mengenai risiko had perlindungan tahunan yang mungkin tidak mencukupi untuk rawatan penyakit serius atau berpanjangan, Ming Lee menyarankan pendekatan secara holistik.

“Pengguna tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada kad perubatan individu sahaja. Perlindungan peribadi perlu digabungkan dengan faedah perubatan yang disediakan oleh majikan, selain membuat keputusan kewangan mengikut keperluan dan kemampuan.

“Dalam masa sama, kejayaan MediAsas kekal memerlukan usaha bersama daripada penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans, pengawal selia serta pengguna menerusi amalan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko kesihatan,” ujarnya.

Mengulas penunjuk prestasi utama (KPI) bagi menilai kejayaan MediAsas, beliau berkata, penilaian tidak sepatutnya bergantung kepada jumlah pendaftaran pemegang polisi semata-mata.

Sebaliknya, keberkesanan MediAsas wajar diukur menerusi tiga dimensi utama iaitu kemudahan pendaftaran, kemampuan mengekalkan polisi serta kerelevanan perlindungan termasuk bagi individu yang mempunyai sejarah penyakit sedia ada.

“Pengenalan subsidi tahun pertama sebanyak RM200 di bawah Belanjawan 2027 adalah penanda aras baik untuk melihat sejauh mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdorong mendaftarkan pekerja mereka.

“Selain itu, kemampuan pemegang polisi untuk memperbaharui insurans secara berterusan serta pelaksanaan dasar tanpa liputan masa lalu selama tujuh tahun (seven-year no-look-back policy) bakal menentukan sama ada produk ini benar-benar memberi kepastian kewangan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini