Kes Zaharif: AGC fail rayuan kembalikan tuduhan membunuh

Kes Zaharif: AGC fail rayuan kembalikan tuduhan membunuh

MOHD. Dusuki Mokhtar (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di SK Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi meneliti semula keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap pegawai kanan polis dalam kes kematian pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, rayuan yang difailkan minggu lalu itu antara lain bertujuan meneliti kemungkinan mengembalikan pertuduhan asal terhadap tertuduh iaitu membunuh.

“Rayuan itu kita hendak meneliti segala aspek kes ini. Sama ada perlu hujah atau perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal iaitu membunuh,” katanya selepas menghadiri Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, media melaporkan Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 47, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi tiga tahun lalu.

Pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet pada akhir kes pendakwaan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Disember 2023.

Sementara itu, berkaitan kes Datuk Seri Najib Razak yang bakal menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, Mohd. Dusuki berkata, bekas Perdana Menteri itu sehingga masih belum melunaskan denda RM50 juta.

Katanya, bekas pemimpin utama negara itu kekal menjalani hukuman di penjara selagi tidak membayar denda tersebut.

Katanya, bagaimanapun tiada tempoh masa ditetapkan untuk Najib menjelaskan denda tersebut.

“Tidak ada tempoh masa yang ditetapkan untuk Datuk Seri Najib bayar denda tersebut.

“Selagi tidak bayar, beliau kekal berada di penjara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Susulan itu, peguam Najib memaklumkan tidak mampu membayar denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat untuk membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata, Najib tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjelaskan denda berkenaan.

UMNO kemudian melancarkan Tabung Solidariti Najib untuk membantu melunaskan jumlah itu serta menggesa pemimpin, ahli dan penyokong parti turut menyumbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini