RESIDENSI Bestari menawarkan 86 unit rumah bandar pada harga RM220,000 seunit di Taman Lang Aman, Sungai Petani, Kedah, khususnya kepada pembeli yang mahu memiliki rumah pertama.
Sebagai pembangunan rumah bandar pertama dalam perbandaran pegangan bebas seluas 20.2 hektar itu, Residensi Bestari menawarkan kediaman mampu milik dalam persekitaran yang dirancang untuk memenuhi keperluan kehidupan berkeluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune berkata, pembangunan itu memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman yang mampu dimiliki, khususnya bagi pembeli rumah pertama.
“Bayangkan petang diisi dengan berjalan santai di taman, anak-anak bermain bersama rakan dan hujung minggu dinikmati dengan beriadah seisi keluarga. Inilah kehidupan yang ingin kami bawakan kepada penghuni Residensi Bestari di Taman Lang Aman.
“Syarikat percaya pemilikan rumah perlu berada dalam jangkauan lebih ramai rakyat Malaysia, terutama pembeli rumah pertama yang mengambil langkah penting dalam membina masa depan mereka.
“Melalui Residensi Bestari di Taman Lang Aman, kami menawarkan kediaman yang direka dengan teliti pada harga mampu milik, di samping memastikan keluarga mempunyai akses kepada keperluan asas untuk kehidupan yang selesa.
“Matlamat kami bukan sekadar menyediakan kediaman, sebaliknya mahu mewujudkan persekitaran yang membolehkan keluarga membesar, berinteraksi dan membina kenangan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek Rumah Mampu Milik (RMM) itu menawarkan dua pilihan keluasan kediaman iaitu Jenis A seluas 818 kaki persegi dan Jenis B seluas 839 kaki persegi.
Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, selain ruang tamu, ruang makan dan dapur yang disusun bagi memenuhi keperluan harian keluarga.
Wai Lune berkata, pembangunan itu turut menitikberatkan penyediaan kemudahan dan persekitaran yang selesa bagi melengkapi keperluan penghuni.
“Antara elemen yang diberi perhatian ialah penyediaan kawasan hijau berlandskap seluas lebih dua hektar bagi menyediakan ruang terbuka dan rekreasi kepada penduduk.
“Kawasan berkenaan merangkumi taman pusat seluas 1.34 hektar serta dua padang bola sepak.
“Kemudahan lain yang dirancang termasuk taman permainan kanak-kanak, gelanggang pickleball, taman papan selaju, laluan joging dan berbasikal serta taman bunga.
“Penyediaan kemudahan berkenaan membolehkan penghuni melakukan aktiviti riadah dan rekreasi berhampiran kediaman, selain menyediakan ruang interaksi dalam kalangan komuniti,” katanya.
Menurutnya, Taman Lang Aman dikelilingi beberapa pusat membeli-belah dan kawasan komersial termasuk Amanjaya Mall, Amanjaya Walk, Lotus’s dan Village Mall, selain premis makanan dan peruncitan.
“Kemudahan pendidikan berhampiran pula merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK) Ambangan Heights, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Lalang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poi Chee.
“Bagi kemudahan penjagaan kesihatan, antara pilihan berdekatan ialah Hospital Sultan Abdul Halim dan Pantai Hospital Laguna Merbok.
“Dari segi kesalinghubungan, Taman Lang Aman mempunyai akses ke Lebuhraya Utara-Selatan serta beberapa destinasi sekitar Sungai Petani.
“Kedudukan itu memudahkan penghuni mendapatkan akses kepada kemudahan pendidikan, membeli barangan keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” jelasnya.
Bakal pembeli boleh melihat susun atur dan ruang kediaman Residensi Bestari apabila unit pamerannya dibuka kepada pengunjung mulai 14 November 2026.
Pembukaan unit pameran itu turut memberi peluang kepada bakal pembeli mendapatkan penerangan lanjut mengenai projek berkenaan serta syarat kelayakan pembelian. – UTUSAN











