KEMAMPUAN membayar premium bulanan menjadi pertimbangan utama golongan muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan sebelum mendapatkan perlindungan insurans perubatan peribadi.
Kadar premium yang kompetitif amat kritikal bagi memastikan kumpulan berkenaan dapat mengimbangi komitmen perbelanjaan harian tanpa mengabaikan perancangan simpanan masa depan.
Jurutera pengeluaran, Ilham Shazli Mohd. Shahlan, 26, berkata, beliau masih belum memiliki sebarang perlindungan perubatan atau takaful persendirian kerana perlu mengutamakan komitmen kewangan mengikut keutamaan aliran tunai bulanan.
Katanya, keputusan untuk melanggan pelan perlindungan memerlukan pertimbangan teliti supaya komitmen premium tidak menjejaskan pengurusan kewangan peribadinya.
“Bagi golongan yang baharu bekerja dengan julat gaji asas, kos premium insurans perubatan konvensional boleh menjadi beban berikutan pendapatan perlu diagihkan untuk perbelanjaan asas, komitmen bulanan serta simpanan kecemasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai pengenalan MediAsas, Ilham Shazli melihat pelan berkenaan berpotensi besar membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan perlindungan kewangan ketika berdepan krisis kesihatan.
Menurutnya, kos rawatan di hospital swasta yang semakin meningkat menjadikan perlindungan perubatan asas sebagai keperluan penting untuk mengelakkan risiko pengeluaran simpanan peribadi secara mendadak.
“Sistem kemudahan kesihatan awam di Malaysia memang menyediakan rawatan pada kos berpatutan, namun insurans perubatan swasta bertindak sebagai perlindungan kewangan tambahan mengikut skop perkhidmatan yang diperlukan.
“Saya berminat untuk mempertimbangkan MediAsas sekiranya kadar premium bulanan yang ditawarkan selari dengan tahap pendapatan, selain julat manfaat dan skop perlindungannya dinyatakan secara jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Ilham Shazli berkata, tahap penerimaan masyarakat terhadap MediAsas bukan sahaja bergantung kepada kebolehcapaian kadar premium, malah menuntut ketelusan maklumat daripada penyedia perlindungan.
Katanya, maklumat terperinci seperti had perlindungan tahunan, pengecualian terma, tempoh menunggu serta jenis rawatan yang dilindungi perlu diterangkan secara telus supaya pengguna dapat membuat pilihan tepat.
“Penetapan premium yang berpatutan, struktur manfaat yang mudah difahami serta proses tuntutan yang tidak rumit akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pelan perubatan asas ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, peningkatan kos insurans perubatan boleh memberi tekanan kepada kedudukan kewangan isi rumah berikutan premium bulanan merupakan komitmen berulang yang perlu ditanggung selain perbelanjaan asas.
Menurutnya, golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan berdepan kekangan untuk mendapatkan perlindungan perubatan sekiranya kadar premium mengambil bahagian besar daripada pendapatan boleh guna mereka.
“Sekiranya premium mengambil bahagian yang besar daripada pendapatan, mereka mungkin memilih untuk menangguhkan pembelian insurans atau tidak mendapatkan perlindungan langsung.
“Keadaan ini boleh mewujudkan jurang perlindungan kewangan apabila individu terpaksa menggunakan simpanan sendiri atau menanggung kos rawatan yang tinggi sekiranya berlaku kecemasan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pelan perlindungan perubatan asas seperti MediAsas berpotensi meningkatkan daya tahan kewangan isi rumah dengan mengurangkan risiko menanggung perbelanjaan rawatan besar menggunakan simpanan sendiri.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan pelan berkenaan bergantung kepada kemampuan premium, keluasan manfaat, had perlindungan serta ketelusan terma polisi bagi memastikan pengguna tidak berdepan kos tambahan yang tinggi apabila memerlukan rawatan lebih kompleks.
“Pengguna perlu dapat mengekalkan polisi tanpa korbakan perbelanjaan asas atau simpanan mereka,” ujarnya. – UTUSAN











