KUALA KANGSAR: Kira-kira 30 peniaga di kompleks pasar basah baharu di bandar Kuala Kangsar di sini, mengharapkan kehadiran lebih ramai pengunjung sejak lebih sebulan berpindah ke lokasi tersebut.
Kebanyakan peniaga yang ditemui berkata, jualan harian mereka mengalami pengurangan mendadak sejak berpindah ke tempat baharu itu yang dinamakan Pasar Tani Kekal Kuala Kangsar.
Tinjauan mendapati, suasana pagi di situ lengang dengan bilangan pengunjung yang sedikit, membuatkan para penjual bersaing sesama sendiri untuk memujuk pembeli singgah ke gerai masing-masing.
Sebelum ini sejak berdekad lalu, hampir kesemua peniaga terbabit berniaga di Pasar Besar Kuala Kangsar yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
Mereka mendakwa, masalah sekarang berpunca daripada kemerosotan pengunjung kerana lokasi baharu itu yang jauh dari pusat tumpuan.
Seorang peniaga daging yang enggan dikenali berkata, keadaan itu membuatkan pembeli merasakan tidak berbaloi untuk ke pergi pasar baharu itu, selain kelompok pembeli warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang tiada pengangkutan.
Katanya, lazimnya daging yang dijual boleh habis dalam dua hari, namun kini memakan masa tiga hingga empat hari.
“Banyak peniaga termenung menantikan pembeli. Malah jualan kini lebih bergantung kepada sokongan pembeli setia masing-masing,” katanya.
Seorang peniaga ikan pula berkata, kadar jualannya di lokasi lama boleh mencecah sehingga RM800 sehari tetapi kini menyusut antara RM300 hingga RM400 sehari.
“Berbanding di tempat lama, pembeli suka ke situ kerana ada kemudahan bank untuk keluar duit dan kemudahan lain,” katanya. – UTUSAN










