Pasar Kedai Payang 1 mula dibuka kepada pengunjung - Utusan Malaysia

Pasar Kedai Payang 1 mula dibuka kepada pengunjung

SEORANG peniaga mengemas kedai cenderahati yang mula dibuka di Pasar Kedai Payang I di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kompleks baharu, Pasar Kedai Payang 1, di sini, yang dibina dengan kos RM70.03 juta mula dibuka kepada pengunjung, hari ini.

Bagaimanapun, kira-kira 20 peratus sahaja daripada peniaga kedai emas, cenderahati dan peralatan dapur memulakan berniagaan di kompleks tersebut yang mempunya 412 lot kedai itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kebanyakan peniaga terlibat masih belum dapat memulakan perniagaan kerana lot kedai masih dalam proses ubah suai.

Menurutnya, semua peniaga yang terlibat dengan perpindahan ke Pasar Kedai Payang 1 telah menyerahkan kunci di Pasar Kedai Payang 2 kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Proses mengeluarkan barang telah selesai dan kunci diserahkan semula kepada MBKT dengan tempoh berakhir semalam.

“Ada antaranya yang telah memulakan perniagaan di kompleks baharu beberapa hari lepas namun kebanyakannya perlu menunggu proses ubah suai siap sempurna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Kosmo! di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di kompleks baharu pasar tersebut mendapati kebanyakan lot kedai emas masih ditutup dan kerja ubah suai masih berjalan terutama melibatkan pemasangan rak pameran emas dan peti besi.

Mengulas lanjut, beliau mengakui kebanyakan peniaga masih berdebar dengan sambutan daripada orang ramai memandangkan ini adalah kali pertama operasi perniagaan di Pasar Payang dipisahkan antara perniagaan barangan basah dan cenderamata serta emas.

“Sejak dulu, kita memang berniaga di bawah satu bumbung kerana setiap perniagaan umpama magnet yang dapat menarik pembeli.

“Apabila sudah asingkan seperti sekarang, kita bimbang juga namun berharap daya tarikan Pasar Kedai Payang tetap ada untuk ramai berkunjung dan menggerakkan nadi ekonomi peniaga kecil di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN