Nostalgia Rewang Melayu, daya tarikan Pasar Sera - Utusan Malaysia

Nostalgia Rewang Melayu, daya tarikan Pasar Sera

SABARIAH Saidan (tengah) menunjukkan kemahirannya membuat kek cawan di sebuah gerai pameran Pasar Sera di Kompleks Yayasan Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 62 gerai jualan pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan di Pasar Sera bertemakan ‘Nostalgia Rewang Melayu’ yang diadakan dua hari bermula semalam di pekarangan replika Rumah Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di Tanjung Lumpur di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, pasar itu membuka ruang kepada usahawan tempatan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik Yayasan Pahang terbabit secara langsung dalam sektor keusahawanan.

“Banyak gerai antaranya menjual pelbagai jenis makanan, minuman, kraftangan dan koleksi pakaian disediakan di sini.

“Selain itu, ada juga aktiviti kesenian seperti persembahan tarian tradisional Pahang dan aktiviti khusus untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, Eksploria dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 200 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun boleh mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma yang disediakan oleh pelajar Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills.

Sabariah berkata, program seumpama itu boleh diadakan lebih kerap bagi mengekalkan momentum peniaga dan usahawan yang terlibat dalam perniagaan.

“Mungkin kita boleh anjur secara tahunan selepas ini, atau kita buat lebih kerap misalnya dua kali setahun di lokasi berlainan.

“Sambutan diterima daripada pengunjung begitu menggalakkan dan ramai yang menyatakan rasa teruja mereka dengan konsep ditampilkan Pasar Sera ini,” katanya.

Dianggarkan lebih 2,000 pengunjung hadir ke pasar tersebut, yang bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×