PARIT BUNTAR: Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dilancarkan kerajaan negeri di Bangunan Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini semalam membantu rakyat yang terkesan akibat krisis Asia Barat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Orang ramai yang ditemui berkata, pengenalan pasar tersebut memberi manfaat kepada seluruh masyarakat untuk berjimat ketika keadaan ekonomi dunia terjejas.
Fatimah Don, 60, berkata, harga barangan di Pasar Sejahtera Rakyat jauh lebih rendah, membolehkan dia berjimat.
“Pasar Sejahtera Rakyat ini sangat baik, ia memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau boleh program seperti ini diadakan dengan lebih kerap kerana ia benar-benar membantu rakyat, khususnya dari segi penjimatan kos dan mudah untuk mendapatkan barangan keperluan.
“Dari segi harga, memang ada perbezaan dan ia sangat meringankan beban rakyat. Jadi, saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Malek Shamauddin, 38, berkata, harga barangan yang ditawarkan di pasar tersebut jauh lebih murah berbanding harga di pasar raya atau pasar lain yang selalu dia kunjungi.
“Pada saya, ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik daripada kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kalau lokasi jualan seperti ini diadakan berdekatan kawasan saya, memang saya akan datang lagi. Ini pengalaman pertama saya berkunjung ke pasar seperti ini dan ternyata program seperti ini sangat bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.
Megat Ahmad Kamal Abd. Rashid, 53, berkata, pasar tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam membantu rakyat kerana barangan dijual pada harga berpatutan.
“Tadi saya melihat harga yang ditawarkan di pasar ini, memang nampak lebih murah dan berbaloi. Kalau boleh, program seperti ini diperluaskan kerana ia memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Tambahan pula lokasi pasar ini merupakan tempat baharu, jadi kami juga teruja melihat perkembangan yang akan berlaku di sini. Apa pun, saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pasar Sejahtera Rakyat Perak yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini semalam merupakan inisiatif payung subsidi bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah kesan krisis tenaga global.
Inisiatif itu melibatkan penjualan barangan kering dan basah dengan harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat dan dilaksanakan di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.
Bagi tahun 2026, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta untuk pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak di seluruh negeri melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai bentuk jualan bersubsidi. – UTUSAN










