Arab Saudi tangguh semua acara antarabangsa, jangka perang Houthi berlarutan

Arab Saudi tangguh semua acara antarabangsa, jangka perang Houthi berlarutan

PEGAWAI Arab Saudi memeriksa kerosakan pada Menara Aramco di Daerah Kewangan King Abdullah (KAFD), Riyadh.-AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi menangguhkan semua acara utama antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di negara itu sehingga sekurang-kurangnya musim luruh 2027, susulan kebimbangan perang dengan kumpulan Houthi di Yemen berlarutan hingga tahun depan.

Penangguhan itu mencerminkan tekanan yang dihadapi Riyadh dalam usaha menampilkan negara berkenaan sebagai destinasi selamat untuk pelaburan dan pelancongan, ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan pejabat korporat di Arab Saudi.

Semalam, sebuah bangunan pencakar langit di Riyadh yang menempatkan ibu pejabat dana kekayaan negara Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) mengalami kerosakan selepas pakatan diketuai Riyadh memaklumkan pihaknya mematahkan ancaman peluru berpandu Houthi yang menyasarkan ibu negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang saksi memberitahu Agensi Berita AFP, bahagian luar bangunan setinggi 80 tingkat itu mengalami kerosakan pada beberapa aras, manakala tingkapnya pecah akibat letupan.

Penduduk Riyadh berkata, satu letupan kuat menggegarkan kediaman mereka pada Rabu tanpa sebarang amaran awal melalui telefon bimbit.

“Letupan itu sangat kuat. Mendengar bunyi letupan tanpa menerima sebarang amaran amat menakutkan,” kata seorang penduduk di utara Riyadh.

Letupan di Riyadh berlaku tidak lama selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman bertemu Ketua Markas Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper di ibu negara itu bagi membincangkan hubungan ketenteraan dan perkembangan serantau.

Arab Saudi dilaporkan turut meminta bantuan rakan Barat dan sekutu serantau, termasuk Turkiye, bagi mendapatkan bekalan senjata seperti sistem pertahanan antidron untuk menghadapi Houthi di Yemen, ketika negara itu bersiap sedia menghadapi konflik berpanjangan.

Seorang pegawai Turkiye berkata, Ankara berusaha sedaya upaya membantu Riyadh, termasuk membekalkan peralatan ketenteraan sebagai tanda solidariti.

Seorang lagi pegawai serantau berkata, Arab Saudi mahu membeli apa sahaja kelengkapan yang tersedia di pasaran, termasuk sistem pertahanan udara jarak dekat untuk memintas dron.

“Arab Saudi mahukan apa sahaja yang kami ada dalam stok,” katanya.

Minggu ini, tentera kerajaan Yemen memaklumkan pihaknya mengundurkan pasukan dari kawasan sekitar Selat Bab al-Mandeb yang strategik sebagai sebahagian daripada penempatan semula tentera bagi melindungi Aden, ibu kota sementara negara itu, serta wilayah-wilayah berdekatan.

Pengunduran itu menyebabkan tentera kerajaan kehilangan semula kawasan yang berjaya ditawan kembali daripada kumpulan Houthi oleh pasukan disokong Arab Saudi pada musim luruh lalu.

Selat Bab al-Mandeb merupakan laluan sempit yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.

Seorang pegawai Barat yang mengetahui perkembangan di medan pertempuran berkata, Aden dijangka tidak akan jatuh ke tangan Houthi berikutan penentangan penduduk tempatan terhadap kumpulan itu, namun menyifatkan keadaan berkenaan sebagai sangat buruk bagi Arab Saudi dan sekutunya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini