RIYADH: Rakyat Yemen terpaksa menempuh perjalanan berbahaya merentasi kawasan padang pasir yang bergolak bagi memasuki Arab Saudi, demi mencari pekerjaan, mendapatkan perlindungan serta mengunjungi ahli keluarga di negara itu.
Perjalanan panjang itu memerlukan mereka mengelak kawasan pertempuran, melalui sekatan jalan raya dan merentasi ratusan kilometer wilayah Yemen yang dilanda perang sebelum tiba di sempadan Arab Saudi.
Sebelum tiba di Al-Wadiaa, satu-satunya pintu sempadan darat yang masih dibuka, seorang penduduk, Noura, 52, terpaksa mengupah seorang pemandu daripada masyarakat Badwi untuk membawanya merentasi Gurun Al-Jawf di utara Yemen.
Wanita itu antara ramai rakyat Yemen yang melihat perjalanan sukar itu sebagai satu-satunya pilihan demi mendapatkan pekerjaan atau keselamatan di Arab Saudi yang kaya, selain mengunjungi keluarga di negara berkenaan.
Laluan pintas itu berisiko kerana merentasi kawasan pertempuran antara kumpulan Houthi yang disokong Iran dengan pasukan kerajaan Yemen yang mendapat sokongan Riyadh.
“Dengan Lapangan Terbang Sanaa ditutup dan satu-satunya pilihan lain ialah menggunakan laluan jauh yang mengambil masa beberapa hari melalui bahagian selatan negara ini, kami memilih untuk merentasi padang pasir,” kata Noura.
Bagi merentasi kawasan padang pasir yang luas, dia terpaksa membayar AS$200 (RM817) kepada pemandunya sebagai bayaran bagi kepakaran mengendalikan kenderaan di kawasan bukit pasir serta pengetahuan mengenai lokasi yang perlu dielakkan.
Dalam beberapa video yang dirakamnya dan dilihat AFP, puluhan kenderaan pacuan empat roda lama serta trak pikap bergerak merentasi pasir dalam kepulan debu tebal, manakala beberapa lelaki berpakaian tradisional cuba mengeluarkan sebuah kereta yang tersangkut.
“Selepas meninggalkan kawasan yang dikawal pihak berkuasa Houthi, kami terpaksa menggunakan laluan padang pasir kerana jalan raya tidak selamat akibat pertempuran,” katanya.
Namun, ancaman bukan hanya datang daripada kawasan berpasir itu. Rakaman AFP pada awal November menunjukkan anggota tentera melepaskan tembakan menggunakan mesingan dari kenderaan berperisai di kawasan padang pasir.
Pada Oktober, kerajaan Yemen memaklumkan pihaknya menembak jatuh dron Houthi di kawasan itu, manakala kumpulan berkenaan melaporkan serangan udara Arab Saudi.
Mereka yang tidak mampu mengupah pemandu Badwi boleh menaiki bas, namun terpaksa menggunakan laluan lencongan yang memanjangkan lagi perjalanan kira-kira 10 jam.
Bas berkenaan kadangkala terpaksa menunggu beberapa hari untuk melintasi sempadan, dengan beratur di lorong berasingan sementara pihak berkuasa Arab Saudi memeriksa kenderaan dan bagasi secara teliti menggunakan pengimbas serta anjing pengesan.
Rakyat Yemen yang lazimnya sukar mendapatkan visa pekerjaan atau pelancongan Arab Saudi pula sering bergantung kepada visa keagamaan yang dikhususkan untuk umat Islam mengunjungi kota suci Mekah dan Madinah.-AFP











