KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Shukor Adan memilih untuk berahsia mengenai perancangan taktikal pasukannya bagi menghadapi India dalam aksi penentuan Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.
Walaupun keputusan aksi Palestin dan Singapura berpotensi mempengaruhi kedudukan akhir kumpulan, perhatian kini terarah kepada kemampuan Shukor menghidupkan peluang skuad muda negara untuk melangkah ke pentas Asia.
Magis pengendali itu yang pernah memacu skuad B-19 negara layak ke Piala Asia B-20 sekali lagi ditagih bagi memastikan impian Harimau Muda tidak terkubur.
Secara matematiknya, peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan akhir masih terbuka, justeru perhatian perlu diberikan sepenuhnya kepada persiapan pasukan, khususnya memastikan jentera serangan lebih tajam.
Selepas membuka kempen dengan kekalahan kepada Palestin, Shukor turut mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak leka memandangkan India hadir dengan reputasi sebagai antara pencabar utama untuk menjuarai Kumpulan E.
Mengulas persiapan pasukan, Shukor mengambil pendekatan mengunci mulut apabila enggan mendedahkan perancangan taktikal yang bakal digunakan bagi merencatkan cabaran India.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan barisan kejurulatihan sudah mengumpulkan maklumat penting mengenai kekuatan lawan selepas meneliti serta menganalisis corak permainan India dalam tiga perlawanan terdahulu.
“Saya sudah katakan kepada pemain, lupakan kejayaan ini (kemenangan ke atas Guam), kita kena buka buku baharu untuk menentang India. Biarlah rahsia (pelan untuk lawan India).
“Kita akan fokus dan sudah membuat analisis prestasi mereka, jadi kita tengok nanti bagaimana pendekatan pada perlawanan itu,” katanya.
Dalam masa sama, Shukor mengharapkan kehadiran seramai mungkin penyokong ke stadium bagi memberikan tekanan kepada India, sekali gus menjadikan aksi penentuan itu malam yang sukar buat pasukan pelawat.
Hanya juara setiap kumpulan pada peringkat kelayakan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan, tahun depan. – UTUSAN











