TELUK INTAN: Kudung tangan kiri tidak menghalang Herry Nizam Salleh mengusahakan pembuatan bot gentian kaca atau fiber di Kampung Bahagia, di sini dan menerima tempahan 500 buah sejak tahun lalu.
Lelaki berusia 46 tahun itu berkata, perusahaan itu dilakukan bersama adiknya, Muhammad Puhaz Salleh, 34, untuk menghasilkan bot bersaiz lima meter panjang yang mendapat permintaan dalam kalangan pemancing dan juga persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.
Menurutnya, dia mengusahakan perniagaan itu dengan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2018 yang menyebabkannya kehilangan tangan kiri.
“Pada peringkat awal mereka hanya menerima tempahan sebanyak lima hingga sepuluh unit bot. Namun, pada 2025 hingga 2026 setakat ini, lebih 500 unit bot gentian kaca ditempah pelanggan tetap, individu, syarikat dan kaki pancing.
“Syukur, Alhamdulillah, rezeki kami dua beradik tidak pernah putus sejak membuka bengkel membina dan membaiki bot di atas tapak yang disewa kini menjadi tumpuan pengusaha bot-bot lain di sekitar daerah Hilir Perak, Manjung, Pantai Remis, Bagan Datuk, Selangor dan Ipoh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, dia turut menerima tempahan dari negeri-negeri lain di sepanjang Pantai Barat semenanjung.
Jelas Herry Nizam, selain adik, dia turut mengambil sehingga tiga pekerja bagi menyiapkan tempahan pelanggan dan turut melatih sesiapa yang mahu mempelajari kemahiran membuat bot fiber.
“Ketika memulakan perniagaan, saya hanya mampu ada seorang pekerja. Disebabkan permintaan amat menggalakkan dan ramai yang memerlukan perkhidmatan, sekarang kami ada tiga pekerja.
“Antara latihan seperti gentian kaca, komposit serta baik pulih bot yang dijalankan selama lima hari, lapan jam sehari. Kursus ini terbuka kepada warga Perak, terutama komuniti setempat di daerah Hilir Perak,” ujarnya. – UTUSAN










