Saya tidak akan mampu bertahan lama jika hanya mahu memuaskan hati orang - Aina Abdul - Utusan Malaysia

Saya tidak akan mampu bertahan lama jika hanya mahu memuaskan hati orang – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul menegaskan segala persembahan yang dibawakan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) selama ini merupakan hasil karya, idea dan imaginasinya sendiri, bukannya bertujuan memenuhi kehendak atau jangkaan orang lain.

Aina berkata, pendekatan seni yang diketengahkannya menerusi setiap persembahan adalah sebahagian daripada identiti dan jenama dirinya sebagai seorang anak seni.

Menurutnya, dia tidak mungkin mampu bertahan lama dalam industri muzik sekiranya hanya menjadikan usaha memuaskan hati orang lain sebagai matlamat utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Segala yang saya persembahkan di pentas AJL hingga ke hari ini, bukan atas memenuhi kehendak sesiapa. Itu karya saya, tulisan saya, imaginasi saya.

“Saya tidak akan boleh bertahan lama jika saya hanya ingin memuaskan hati orang. Percayalah, itulah penjenamaan yang saya ketengahkan melalui sosok Aina Abdul,” katanya di Threads.

Kenyataan itu dibuat Aina ketika membalas komen seorang pengguna media sosial yang berkongsi pandangan mengenai pendekatan persembahannya, selain meluahkan kebimbangan melihat penyanyi itu seolah-olah terlalu berusaha memenuhi jangkaan semua pihak.

Pengguna berkenaan berpendapat Aina sudah melengkapkan elemen alam iaitu air, tanah, api dan angin menerusi persembahan sebelum ini, justeru tidak perlu lagi terlalu menekankan penggunaan prop besar, pentas mewah atau elemen berskala besar untuk membuktikan kemampuan dirinya.

Malah, individu itu turut menyifatkan kekuatan sebenar Aina terletak pada vokal, penghayatan emosi dan kehadirannya di pentas, tanpa memerlukan sebarang gimik atau hiasan tambahan.

“Saya pernah mendengar Aina menyanyi seorang diri, tanpa prop dan gimik. Persembahan itu sudah lebih daripada cukup untuk membuatkan saya terdiam,” tulis pengguna berkenaan.

Dalam masa sama, pengguna itu berharap Aina tidak terlalu membebankan diri mengejar kesempurnaan semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang ramai, memandangkan kritikan akan tetap wujud walau apa juga yang dipersembahkan.

Bagaimanapun, Aina menghargai keprihatinan tersebut, namun menegaskan pandangan berkenaan perlu diperbetulkan agar tidak timbul tanggapan bahawa segala hasil seninya dilakukan demi memenuhi kehendak orang lain.

“Terima kasih atas keprihatinan dan perhatian anda, tetapi saya perlu memperbetulkan perkara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini