TEHERAN: Sebuah yayasan milik kerajaan Iran berkata pada Sabtu bahawa perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah mengorbankan lebih 3,400 nyawa di republik Islam itu.
Pengumuman Yayasan Syahid dan Hal Ehwal Veteran itu dibuat ketika gencatan senjata selama dua minggu sedang berlangsung dalam konflik yang tercetus pada akhir Februari.
Ketua yayasan itu, Ahmad Mousavi, dipetik oleh agensi berita ISNA sebagai berkata bahawa 3,468 syahid dan gugur dalam konflik itu.
Angka korban sebelum ini daripada ketua Pertubuhan Perubatan Forensik Iran yang dikeluarkan pada 12 April menyatakan bahawa 3,375 orang di Iran terbunuh dalam perang tersebut.
Agensi berita Human Rights Activists News Agency (HRANA) yang berpangkalan di AS berkata pada 7 April bahawa sekurang-kurangnya 3,636 orang terbunuh.
Ia termasuk 1,701 orang awam antaranya sekurang-kurangnya 254 kanak-kanak dan 1,221 anggota tentera manakala 714 individu yang statusnya belum dikenal pasti. – AFP










