KUALA TERENGGANU: Setelah gagal memulakan operasi perniagaan mengikut jadual asal pada 1 Julai lalu, bangunan Pasar Kedai Payang baharu dijangka mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Ogos depan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Rosli Latif berkata, pihaknya memahami kekangan yang dihadapi peniaga untuk memulakan perniagaan pada 1 Julai lalu kerana proses ubah suai di lot kedai mereka masih belum selesai.
Menurutnya, MBKT berharap tempoh sebulan yang diberikan adalah mencukupi untuk kerja-kerja ubah suai lot kedai dilakukan agar perniagaan dapat dimulakan pada tarikh baharu, 1 Ogos depan.
“Ada yang ubah suai lot kedai untuk letakkan kerusi, meja pameran barangan, rak, pendawaian elektrik dan pelbagai peralatan yang sesuai.
“Kadar sewa baharu juga akan mula dikenakan kepada peniaga bermula 1 Ogos depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Eksplorasi Gelombang Sejagat dekat Chendering, di sini,hari ini.
Pada 1 Julai lalu, kebanyakan pengunjung terkejut apabila mendapati perniagaan di bangunan Pasar Kedai Payang baharu masih belum bermula seperti mana yang dihebahkan sebelum itu.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kompleks baharu pasar tersebut yang dikenali Pasar Kedai Payang 1 mendapati semua lot kedai masih ditutup dan kerja ubah suai masih berjalan di beberapa ruang perniagaan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, hampir 90 peratus daripada 110 peniaga yang ditawarkan berniaga di Pasar Kedai Payang 1 telah pun membayar deposit dan mengambil kunci mereka.
“Baki 10 peratus masih belum berbuat demikian dan mereka ada hak untuk menolak tawaran tersebut dan MBKT akan membuka peluang kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga di situ.
“Operasi untuk bahagian batik, songket dan sutera pula dijangka bermula Januari depan kerana jumlah ruang perniagaan dan peniaga adalah tidak mencukupi.
“Terdapat 244 peniaga batik, songket dan sutera namun jumlah ruang perniagaan ialah 218…jadi akan ada sedikit penambahan ruang yang dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya.
Bangunan Pasar Kedai Payang baharu yang dibina atas tapak asal dengan kos RM70.03 juta itu adalah projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan memandangkan bangunan lama sudah terlalu uzur dan daif. – UTUSAN










