BESUT: Co-opbank Pertama (CBP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan menerusi pembukaan cawangan ke-33 di Jerteh, dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Komersialnya, Mohd. Faris Kamarudin berkata, cawangan Jerteh merupakan cawangan CBP ketiga di Terengganu selepas Kuala Terengganu dan Dungun.
Menurutnya, pembukaan cawangan Jerteh adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat seiring dengan perancangan strategik CBP dalam mengembangkan sektor perniagaan di Terengganu.
“Pembukaan cawangan baharu ini, menunjukkan CBP komited untuk mencapai 36 cawangan melalui Pelan Strategik CBP 2022-2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Cawangan Co-opbank Pertama di Jerteh, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, CBP turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 19 pelajar asnaf di daerah ini sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Mohd. Faris memberitahu, satu cawangan CBP akan dibuka di Papar, Sabah dalam masa terdekat.
Tambahnya, dua lagi cawangan baharu dibuka pada suku keempat tahun ini iaitu di Bangi, Selangor dan Segamat, Johor. – UTUSAN










