Indonesia benar ahli parlimen nilai prestasi bank pusat - Utusan Malaysia

Indonesia benar ahli parlimen nilai prestasi bank pusat

SEKUMPULAN pelatih berjalan menuju pintu masuk Bank Indonesia di Jakarta.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang yang memperluaskan peranan bank pusat dengan memasukkan tanggungjawab terhadap pertumbuhan ekonomi selain membolehkan ahli-ahli parlimen menilai prestasinya.

Ketika nilai rupiah menjunam ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Dewan Perwakilan Rakyat meluluskan pindaan perundangan yang mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan bank pusat negara itu.

Pada Rabu, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa memberitahu Parlimen bahawa pindaan itu bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing global ketika negara berdepan pelbagai tekanan termasuk harga minyak dunia yang tinggi.

“Ia bukan sekadar mengenai kestabilan kadar pertukaran atau inflasi semata-mata. Ia juga mengenai memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Berdasarkan pindaan itu, parlimen akan dipertanggungjawabkan untuk menilai prestasi bank pusat berdasarkan mandat baharunya yang diperluaskan, selain turut menilai prestasi Perbadanan Insurans Deposit Indonesia (LPS) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK).

LPS ialah agensi yang bertanggungjawab menjamin deposit bank dan mengekalkan kestabilan sistem perbankan, manakala OJK berfungsi sebagai pengawal selia kewangan negara.

Menerusi pindaan itu, institusi terbabit diwajibkan mematuhi cadangan yang dikemukakan parlimen.

Nilai mata wang rupiah jatuh melepasi paras 18,000 (RM4) bagi setiap dolar AS  buat kali pertama pada Khamis ketika negara itu terkesan oleh kenaikan mendadak kos tenaga. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN