Unjuran pertumbuhan pinjaman dijangka kekal 5.3% tahun ini - Utusan Malaysia

Unjuran pertumbuhan pinjaman dijangka kekal 5.3% tahun ini

BNM kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sejak Julai 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan pinjaman 2026 dijangka kekal sebanyak 5.3 peratus, didorong oleh pertumbuhan pinjaman isi rumah sebanyak 5.3 peratus dan pinjaman perniagaan sebanyak 5.4 peratus.

TA Securities Holdings Berhad berkata, penilaian sektor perbankan berkemungkinan kekal terhad berikutan aliran keluar dana asing yang berterusan, pengumuman dividen interim yang kurang memberangsangkan serta penstrukturan semula portfolio menjelang peluasan penanda aras FBM KLCI 50 pada Disember 2026.

Jelasnya, ini walaupun prospek operasi kekal secara amnya menyokong, dipacu oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil, pendapatan bukan faedah (non-NII) yang berdaya tahan, kualiti aset yang stabil serta penampan modal dan kecairan yang kukuh.

“Perubahan penanda aras tersebut berpotensi menyebabkan beberapa bank bermodal besar menerima wajaran yang lebih rendah dalam indeks.

“Dalam keadaan ini, kami mengulangi saranan ‘pegang’ terhadap Maybank, CIMB, Public Bank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan AMMB, selain mengekalkan saranan ‘beli’ bagi Alliance Bank dan Affin Bank.

“Pilihan utama kami dalam sektor perbankan ialah Alliance Bank, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang menerajui industri, kualiti aset yang lebih baik serta profil pembiayaan yang berdaya tahan,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securities berkata, jumlah pinjaman kasar Alliance Bank berkembang 9.5 peratus tahun ke tahun, jauh mengatasi purata industri sekitar lima peratus, sekali gus membolehkan bank itu terus meningkatkan bahagian pasaran.

Menurutnya, kualiti aset turut bertambah baik dengan ketara, apabila kos kredit bersih susut kepada paras sangat rendah iaitu 0.3 mata asas, berbanding 14.4 mata asas setahun lalu, didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh daripada portfolio korporat.

“Dari segi pembiayaan pula, Alliance Bank disokong oleh nisbah akaun semasa akaun simpanan (CASA) sebanyak 37.7 peratus, yang menyediakan asas pembiayaan yang stabil dan secara relatifnya berkos rendah.

“Kami percaya kedudukan ini membolehkan bank berkenaan menghadapi tekanan penetapan semula kadar deposit yang berterusan serta berpotensi mengekalkan margin faedah bersih (NIM) dengan lebih baik,” jelasnya.
Firma berkata, pihaknya mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor perbankan, sambil menyatakan risiko penurunan utama kepada prospek sektor termasuk pemampatan NIM selanjutnya, kemerosotan kualiti aset dan pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan daripada jangkaan.

“Risiko ini boleh diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, aktiviti ekonomi yang lebih lemah dan sentimen perniagaan yang lebih perlahan, yang akhirnya mungkin memberi kesan kepada permintaan kredit dan pertumbuhan pendapatan di seluruh sektor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×