Sektor pengguna, pembinaan penerima manfaat utama Belanjawan 2027 - Utusan Malaysia

Sektor pengguna, pembinaan penerima manfaat utama Belanjawan 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pengguna dan pembinaan dijangka antara penerima manfaat utama Belanjawan 2027 susulan potensi peningkatan sokongan kepada isi rumah serta perbelanjaan pembangunan kerajaan.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, peningkatan jumlah peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada kira-kira RM17 bilion daripada RM15 bilion berpotensi menyokong pendapatan boleh guna isi rumah serta perbelanjaan pengguna.

Menurutnya, pelepasan cukai bagi golongan berpendapatan sederhana dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,800 hingga RM2,000 sebulan turut berpotensi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.

“Keadaan ini boleh memberi manfaat kepada syarikat pengguna, khususnya peruncit nilai seperti 99 Speed Mart, Eco-Shop dan MR D.I.Y., serta pengeluar makanan dan minuman seperti Nestlé Malaysia, Life Water dan QL Resources.

“Sementara itu, potensi pelepasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap input perniagaan dan pengeluaran, yang dianggarkan memberi kesan kepada hasil sekitar RM1 bilion boleh mengurangkan kesan cukai berlapis dan memberi kelegaan kepada margin keuntungan syarikat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma itu berkata, sektor pembinaan pula berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pembangunan yang diunjurkan kepada RM83 bilion.

Katanya, perbelanjaan bagi projek berkaitan air, tebatan banjir, pengangkutan, grid serta infrastruktur di Malaysia Timur berpotensi menyokong aktiviti sektor pembinaan.

“Antara syarikat yang dilihat berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat termasuk Gamuda, IJM, Malayan Cement dan Insight Analytics.

“Dalam pada itu, peningkatan kos buruh dan ruang fiskal yang semakin terhad dikenal pasti sebagai antara risiko penurunan utama.

“Selain itu, kenaikan gaji minimum berpotensi meningkatkan kos kepada syarikat dalam sektor perladangan, pembuatan dan perkhidmatan yang berintensifkan buruh.

“Bagaimanapun, kami melihat peningkatan segera kadar levi pekerja asing secara berperingkat sebagai tidak berkemungkinan, mengambil kira tekanan kos sedia ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, CIMB Securities berkata, cukai karbon yang berpotensi diperkenalkan pula boleh memberi tekanan kepada sektor keluli dan industri lain yang berintensifkan karbon.

“Selain itu, cadangan levi jualan kenderaan elektrik (EV) bagi membiayai infrastruktur pengecasan berpotensi menjejaskan pemain automotif menerusi peningkatan kos pembelian kenderaan dan seterusnya mengekang permintaan.

“Bagaimanapun, penerusan insentif pemasangan dan pemasangan tempatan (CKD) dijangka memihak kepada kenderaan elektrik yang dipasang di Malaysia,” katanya

Jelasnya, kejutan harga tenaga yang berterusan turut berpotensi meningkatkan kos subsidi dan mengehadkan ruang fiskal kerajaan.

“Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober 2026 dijangka terus mengekalkan keseimbangan antara usaha konsolidasi fiskal dengan sokongan bersasar kepada isi rumah, perniagaan dan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×