Pembiayaan BNPL belia cecah RM2.4 bilion 

Pembiayaan BNPL belia cecah RM2.4 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah baki terkumpul pembiayaan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dalam kalangan golongan belia mencecah RM2.4 bilion.

Kementerian Kewangan berkata, namun jumlah tunggakan BNPL dalam kalangan golongan belia masih terkawal iaitu RM96.8 juta atau empat peratus daripada keseluruhan baki terkumpul. 

Katanya, penggunaan skim BNPL dalam kalangan golongan muda berumur 30 tahun dan ke bawah mencatatkan sebanyak 65.9 juta transaksi bernilai RM5.4 bilion pada separuh tahun pertama 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah ini merangkumi 37.9 peratus daripada keseluruhan penggunaan BNPL di Malaysia bagi tempoh yang sama, iaitu 173.9 juta transaksi, serta 36.7 peratus daripada jumlah nilai transaksi BNPL keseluruhan sebanyak RM14.7 bilion. 

“Pada 30 Jun 2026 jumlah baki terkumpul pembiayaan BNPL bagi golongan belia pula adalah sebanyak RM2.4 bilion. 

“Sementara itu, jumlah tidak berbayar BNPL bagi golongan belia adalah masih terkawal iaitu sebanyak RM96.8 juta atau 4.0 peratus daripada jumlah baki terkumpul,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) tentang mekanisme SKP bagi melindungi golongan muda daripada keberhutangan berlebihan melalui BNPL, kementerian memaklumkan penyedia BNPL menjalankan penilaian kelayakan kredit dan penilaian kemampuan berhutang sebelum menawarkan kemudahan kredit kepada pengguna terutamanya golongan muda. 

“Penilaian tersebut perlu mengambil kira keseluruhan komitmen kewangan pengguna kredit, termasuk kemudahan kredit yang diperoleh daripada pemberi kredit bank dan bukan bank serta kemudahan kredit baharu yang dipohon,” katanya. 

Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) dan Standard Pelakuan tidak memperuntukkan kewajipan penyedia BNPL untuk menghentikan secara automatik semua tuntutan bayaran, caj lewat, sekatan akaun dan aktiviti kutipan hutan

Katanya, hal ini kerana sesuatu transaksi yang dipertikaikan perlu disiasat terlebih dahulu untuk mendapat kepastian sama ada transaksi tersebut merupakan transaksi tanpa kebenaran.

“Oleh itu, setiap pertikaian perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang berkaitan. Penyedia BNPL juga dikehendaki mengendalikan aduan dan pertikaian secara adil, telus dan tepat pada masanya. 

“Sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan di bawah Akta 873 dan Standard Pelakuan boleh tertakluk kepada tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP),” katanya. 

Kementerian menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta kementerian menyatakan keperluan dan kewajipan supaya penyedia BNPL menghentikan sementara semua tuntutan bayaran, caj lewat, sekatan akaun dan aktiviti kutipan hutang apabila pengguna membuat pertikaian rasmi mengenai transaksi yang didakwa tidak dibenarkan sehingga siasatan selesai. 

Menurut kementerian, kerajaan melalui Akta 873 telah memperuntukkan keperluan berkaitan pengesahan transaksi dalam talian, amalan kutipan hutang yang adil, pengendalian aduan pengguna serta mekanisme penyelesaian pertikaian.

Katanya, perkara tersebut  diperincikan melalui Standard Pelakuan yang dikeluarkan oleh SKP dan wajib dipatuhi oleh semua penyedia BNPL. 

“Di bawah Standard Pelakuan, penyedia BNPL bertanggungjawab untuk melaksanakan langkah keselamatan dan kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko transaksi yang tidak dibenarkan terutamanya transaksi dalam talian, termasuk keperluan pengesahan identiti dan pengesahan transaksi dalam talian yang munasabah. 

“Pada masa yang sama, pengguna kredit juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maklumat keselamatan peribadi mereka, termasuk kata laluan, nombor PIN, kod pengesahan sekali guna (OTP) dan kelayakan akses akaun daripada disalahgunakan oleh pihak ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian turut memaklumkan kerajaan terus memantau perkembangan industri serta keberkesanan kerangka perlindungan pengguna sedia ada bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi tanpa menjejaskan integriti dan kestabilan ekosistem kredit pengguna selaras dengan objektif penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna dan Akta 873. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini