PETALING JAYA: Sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi kesan konflik di Asia Barat dengan pendedahan langsung sektor kewangan negara terhadap rantau itu berada pada tahap terhad.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, konflik berkenaan bagaimanapun menjadi antara sumber utama risiko kepada prospek ekonomi dan kewangan global berikutan gangguan terhadap bekalan komoditi serta laluan perdagangan strategik yang boleh meningkatkan kos tenaga, logistik dan input lain.
“Perkembangan itu turut meningkatkan tekanan dari sudut penawaran serta turun naik dalam pasaran kewangan global, dengan kesannya berpotensi lebih ketara terhadap Malaysia berikutan tahap integrasi ekonomi negara yang tinggi dengan perdagangan dan pasaran kewangan global.
“Bagaimanapun, keadaan kewangan domestik setakat ini masih terkawal, dengan prestasi pembayaran balik pinjaman kekal baik dan tekanan hanya dikesan dalam segmen perniagaan tertentu.
“Institusi perbankan turut berdepan sedikit peningkatan kos pendanaan, namun keadaan mudah tunai kekal disokong, manakala bank, syarikat insurans dan pengendali takaful terus mempunyai penampan kewangan yang kukuh bagi memastikan fungsi pengantaraan kewangan tidak terjejas,” katanya dalam artikel rencana bertajuk ‘Melangkaui Harga Minyak: Daripada Konflik Geopolitik kepada Risiko Kestabilan Kewangan’.
BNM berkata, pasaran kewangan domestik yang mendalam dan asas pelabur yang pelbagai juga membantu mengehadkan penularan turun naik pasaran global kepada sistem kewangan tempatan.
Menurutnya, kesan konflik terhadap Malaysia dijangka lebih banyak disalurkan melalui ekonomi sebenar dan pasaran kewangan global berbanding pendedahan kredit atau pendanaan secara langsung.
“Peningkatan kos input dan logistik, gangguan bekalan serta permintaan yang lebih lemah boleh menekan margin keuntungan perniagaan dan prestasi kewangan syarikat.
“Dalam masa sama, peningkatan inflasi berpotensi menghakis kuasa beli isi rumah dan seterusnya menjejaskan keupayaan sesetengah peminjam untuk memenuhi obligasi hutang.
“Ketidaktentuan yang lebih tinggi juga boleh mempengaruhi keputusan isi rumah dan perniagaan berkaitan penggunaan, simpanan serta pelaburan,” katanya.
Dari sudut pasaran kewangan, sentimen mengelak risiko boleh mendorong penyusunan semula portfolio pelabur dan meningkatkan turun naik aliran modal, sekali gus memberi kesan terhadap nilai aset, hasil bon, kadar pertukaran serta kecairan pasaran.
“Perkembangan itu sekiranya berterusan berpotensi mengetatkan keadaan kredit dan pendanaan serta meningkatkan kos kredit dan tuntutan, kerugian penilaian aset serta tekanan terhadap pendanaan dan kecairan institusi kewangan.
“Bagaimanapun, kejutan daripada konflik Asia Barat perlu dilihat bersama perkembangan ekonomi dan kewangan global yang lain, termasuk kelemahan sedia ada dalam sistem kewangan.
“Setakat ini, risiko gabungan kejutan berkenaan yang boleh mencetuskan tekanan kewangan lebih besar masih terhad, dengan sistem kewangan Malaysia terus menunjukkan daya tahan tinggi dalam menyerap kesan daripada perkembangan luaran,” katanya. –UTUSAN










