OPR dijangka kekal 2.75 peratus sehingga akhir tahun - Utusan Malaysia

OPR dijangka kekal 2.75 peratus sehingga akhir tahun

BNM kekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sejak Julai 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras semasa sehingga Disember 2026 berikutan tekanan inflasi yang semakin reda, sekali gus memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan dasar monetari yang lebih longgar.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, inflasi teras yang berada pada 1.9 peratus memberi ruang yang besar kepada BNM untuk mengekalkan OPR tanpa perlu mengetatkan dasar monetari.

Katanya, selagi inflasi keseluruhan kekal dalam julat 1.5 hingga 2.5 peratus seperti yang diunjurkan kerajaan, selain Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) tidak menaikkan kadar faedah, tiada keperluan mendesak untuk BNM mengubah OPR.

“Ruang untuk menurunkan OPR masih ada, namun BNM berkemungkinan menyimpan pilihan itu untuk 2027 sekiranya diperlukan.

“Dengan tekanan inflasi yang semakin rendah, perkembangan dasar monetari AS dan pergerakan ringgit akan menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan BNM.

“Sekiranya Fed mengekalkan kadar faedah tinggi dan ringgit susut melebihi paras RM4.50 berbanding dolar AS, BNM mungkin perlu mengekalkan OPR pada paras semasa untuk mengelakkan tekanan terhadap mata wang tempatan.

“Bagaimanapun, sekiranya Fed mula menurunkan kadar faedah, BNM mempunyai lebih banyak ruang untuk melonggarkan dasar monetari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) buat kali kelapan berturut-turut sejak Julai 2025, manakala mesyuarat MPC terakhir bagi tahun ini dijadualkan pada 5 November.

Menurut Aimi Zulhazmi, kesan pelaksanaan subsidi bersasar turut menjadi antara perkara yang perlu dipantau, khususnya perkembangan inflasi bagi September dan Oktober selepas pelaksanaan penuh subsidi diesel dan elektrik.

“Selagi inflasi keseluruhan tidak melepasi 3.5 peratus, BNM dijangka berada dalam keadaan selesa untuk mengekalkan kadar semasa.

“Dalam pada itu, prestasi eksport dan aliran pelaburan langsung asing (FDI) pada suku ketiga 2026 juga akan menjadi petunjuk penting terhadap hala tuju dasar monetari.

“Sekiranya permintaan global melemah dan momentum pelaburan mula perlahan, BNM berkemungkinan menggunakan kadar faedah yang lebih rendah sebagai sokongan kepada pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada ketika ini tiada keperluan untuk mengetatkan dasar monetari memandangkan inflasi teras 1.9 peratus menunjukkan tekanan harga berada pada tahap terkawal.

“Ekonomi tidak berada dalam keadaan terlalu panas dan tindakan mengetatkan dasar monetari ketika ini berisiko menjejaskan momentum pelaburan serta penggunaan isi rumah.

“Keutamaan BNM adalah mengekalkan persekitaran kadar faedah rendah bagi membolehkan ekonomi terus menyerap pelaburan dan projek di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×