KOTA KINABALU: Pengerusi Tetap Parti Warisan (Warisan), Datuk Karim Bujang mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor semasa majlis berbuka puasa bersama kepemimpinan Gagasan Rakyat di sini, semalam.
Sebelum itu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dengan dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Gagasan Rakyat termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun; Naib-Naib Presiden iaitu Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung, Datuk Mohd. Razali Razi; Ketua Penerangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Bendahari, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar.
Karim pernah dicalonkan sebagai calon Warisan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020.
Kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong selepas kemenangan Tan Sri Anifah Aman selaku Ahli Parlimen Kimanis dicabar di Mahkamah Pilihan Raya pada Ogos 2019.
Bagaimanapun, Karim tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang menang dengan majoriti 2,029 undi dalam persaingan satu lawan satu. – UTUSAN










