KDN serah sepenuhnya isu stoking kalimah Allah kepada polis

KDN serah sepenuhnya isu stoking kalimah Allah kepada polis

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau difahamkan PDRM sudah menerima sejumlah aduan mengenai isu itu.

“Sudah ada sejumlah laporan polis diterima, jadi hal itu polis akan tangani. Sudah ada aduan, biar polis uruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf.

Hari ini, polis mengesahkan berjaya menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan berkata, lima pasang stoking itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas 16 bungkusan stoking yang diimport dari China.

Mengulas mengenai kes penyampai berita dan pengacara televisyen yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, Saifuddin berkata, kes itu akan ditangani secara adil bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi.

“Ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar. Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan.

“Polis tidak selamanya betul dan pengadu juga ada buat silap. Jadi dalam kes ini, jelas di mana pengadu ada versi dia,” katanya.

Polis sebelum ini menafikan dakwaan seorang penyampai berita dan pengacara televisyen yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, dakwaan lelaki berusia 30-an itu diterbitkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN