Menara Ilham bernilai RM580 juta disiasat SPRM

Menara Ilham bernilai RM580 juta disiasat SPRM

TINJAUAN Utusan Malaysia mendapati Menara Ilham beroperasi seperti biasa semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sitaan bangunan Menara Ilham oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah untuk menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sitaan dilakukan selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Kata sumber, siasatan SPRM itu telah pun dijalankan bermula pada awal tahun sehingga kini.

“Sitaan dilakukan selepas siasatan SPRM mendapati pemilik kepada Menara Ilham adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh isteri dan anak kepada seorang bekas menteri kewangan.

“Projek pembinaan Menara Ilham itu adalah lebih kurang RM580 juta,” katanya di sini.

Tambah sumber itu, apa-apa aktiviti operasi harian dalam bangunan tersebut berjalan seperti biasa dan tidak dihalang oleh SPRM

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai sitaan itu namun enggan mengulas lanjut.

Tinjauan Utusan Malaysia di bangunan menara mendapati tiada pita sitaan dipasang di Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini.

Hasil tinjauan juga mendapati, syarikat lain yang beroperasi di dalam menara itu juga bekerja seperti biasa.

Selain itu, tiada kawalan keselamatan juga dilakukan pada bangunan itu.

Seorang pekerja syarikat di dalam bangunan tersebut ketika ditemui berkata, beberapa syarikat di dalam bangunan tersebut beroperasi seperti biasa meskipun sedia maklum berhubung notis berkenaan.

“Tiada pergerakan ke arah mengosongkan unit yang kami sedang bekerja sekarang, semuanya masih dalam keadaan normal,” katanya.

Menara berkenaan dipercayai mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartment.

Terdahulu, laporan Channel News Asia (CNA) memetik sumber terdekat seorang bekas menteri kewangan memaklumkan tindakan sita dibuat susulan bekas anggota Kabinet itu enggan mematuhi arahan SPRM.

Menurut sumber itu, bekas menteri yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu enggan mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.

Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan penggubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Bagaimanapun, bekas menteri kewangan itu menolak tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian tersebut.

Laporan Utusan Malaysia pada Mei lalu mendedahkan, beberapa dokumen berkaitan pengambilalihan, dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai sedang diperolehi SPRM.

Kesemua dokumen ini dalam tindakan untuk diperoleh SPRM daripada beberapa penama, bank, syarikat gergasi, pemaju dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk dianalisa.

Selain mendapatkan transaksi kewangan berkaitan penjualan saham, SPRM juga dipercayai akan memangil semua tokoh terkemuka itu.

Tumpuan siasatan SPRM berhubung penyelewengan ini adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk.

Justeru itu, kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN