Kembalikan sebahagian hasil kewangan kepada Labuan - Anifah

Kembalikan sebahagian hasil kewangan kepada Labuan – Anifah

ANIFAH Aman (kanan) semasa menyambut ketibaan Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Labuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan untuk mengembalikan sebahagian hasil kewangan yang diperoleh daripada kerajaan Labuan untuk pembangunan wilayah berkenaan.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, langkah itu mampu mempercepatkan proses pembangunan wilayah itu.

Beliau berkata, Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (IBFC) menyumbang lebih RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya sebahagian hasil kewangan itu diberikan kepada Labuan, ia akan dapat membantu dalam pembangunan infrastruktur asas untuk kebaikan rakyat Labuan.

“Malah, ia juga akan dapat menyelesaikan masalah air menerusi projek-projek pembaikan dan penyelenggaraan paip-paip yang telah lama dan rosak,” katanya semasa majlis ramah mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan, hari ini.

Ahli Dewan Negara itu berkata, mengambil kira kadar pengangguran di Labuan yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu 7.2 peratus, maka beliau mencadangkan agar RM5 juta daripada RM100 juta insentif modal pembiayaan startup diperuntukkan kepada rakyat wilayah ini.

Menurut Anifah, rakyat Labuan juga mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan jambatan bagi menghubungkan pulau bebas cukai itu dengan Sabah.

“Pembinaan jambatan itu bukan hanya memudahkan urusan keluar dan masuk ke Labuan, malah turut mengurangkan kos perniagaan kerana kos pengangkutan akan menurun.

“Sekiranya jambatan ini menjadi kenyataan, ramai peniaga daripada kawasan serantau akan turut berminat melabur dan membuka perniagaan di Labuan. Ini kerana jambatan itu akan memudahkan aliran rantaian bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya