KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan pesawat tanpa pemandu (C-UAS) bernilai RM40 juta yang diterima dari Jepun akan ditempatkan di beberapa lokasi termasuk Sepanggar, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem itu merupakan sebahagian daripada program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) yang menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara rakan.
“Jepun telah mengumumkan peruntukan tersebut (penerimaan C-UAS) ketika lawatan kerja saya baru-baru ini.
“Aset itu akan ditempatkan di beberapa lokasi termasuk Sepanggar dan Labuan,” katanya semasa sidang akhbar Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Negara Ke-100 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) semalam.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia berharap bantuan Jepun pada masa depan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan negara dalam melindungi kepentingan maritim susulan peningkatan ketegangan geopolitik di rantau ini.
Katanya, Malaysia meminta Jepun meneruskan OSA untuk membantu negara rakan membangunkan keupayaan pertahanan masing-masing.
“Kita berharap program OSA dapat diteruskan kerana ia membantu dalam membangunkan keupayaan kita,” jelasnya.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh keupayaan melindungi perairan termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan yang berdepan cabaran besar, susulan pertindihan tuntutan wilayah serta ketegangan antara kuasa besar.
Katanya, Malaysia perlu bekerjasama dengan rakan strategik yang dipercayai dan benar-benar komited membantu membangunkan keupayaan pertahanan.
Ujarnya, kesiapsiagaan pertahanan negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada aset dan anggota tentera sebaliknya memerlukan kerjasama antarabangsa yang kukuh serta latihan berterusan.
Mohamed Khaled dalam pada itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM304 juta bagi kebajikan veteran ATM.
Jelasnya, ia meliputi pelbagai bentuk bantuan termasuk pembaikan rumah, rawatan perubatan dan sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka.
Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada setiap veteran yang layak.-UTUSAN.











