PETALING JAYA:Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan siasatan dalaman berhubung insiden kecederaan seorang anggota Rejimen 22 Komando.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil siasatan itu akan dimajukan dalam masa terdekat.
Beliau turut menegaskan, tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap anggota terlibat berdasarkan hasil siasatan dibuat.
“Kes itu kini dalam perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
“Dipercayai dua anggota tentera terlibat dan kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk proses siasatan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menuntut penjelasan segera daripada kerajaan berhubung kecederaan parah seorang anggota komando yang kini kritikal selepas didakwa dikenakan hukuman di sebuah kem tentera di Johor, Mac lalu.
Peguam LFL, N Surendran, berkata hingga kini keluarga dan pihak peguam masih belum menerima penjelasan munasabah mengenai insiden menimpa Truper Abdul Hamid Talib, 25.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi dan mangsa kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan. – UTUSAN









