KOTA KINABALU: Seorang lelaki bersama anak perempuannya maut apabila Toyota Avanza dinaiki dua beranak itu dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar di sini.
Insiden kira-kira pukul 6.20 petang berlaku ketika Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anaknya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuala Baru, di sini.
Difahamkan, terdahulu Mohd Jadi yang memandu kenderaan itu telah mengambil Norfaieza pulang dari bekerja di Manggatal.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Mokthar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang berhubung kejadian itu sebelum 26 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi.
Berdasarkan keterangan saksi, beliau berkata, sebuah treler dikatakan sedang mengangkat kontena di tepi Jalan Sepanggar berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Bagaimanapun, katanya, kontena terbabit dipercayai hilang keseimbangan lalu terbalik dan menghempap kenderaan mangsa yang sedang melalui jalan berkenaan ketika itu.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba memulakan operasi menyelamat tetapi berdepan kesukaran kerana kontena itu perlu diangkat terlebih dahulu.
“Dua kren kemudian tiba bagi membantu mengangkat kontena sebelum kenderaan yang dinaiki mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Seterusnya, beliau berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
“Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Mayat mereka kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam,” katanya.











