Nyahpasang, sekat akses tidak padam data dalam Waze

Nyahpasang, sekat akses tidak padam data dalam Waze

LAPORAN muka hadapan Utusan Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nyahpasang atau sekatan terhadap aplikasi Waze tidak memadamkan segala jejak atau data pengguna yang pernah dikumpulkan serta disimpan dalam pelayan (server) aplikasi berkenaan.

Penyelidik Kanan Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Zubaile Abdullah berkata, nyahpasang Waze hanya menghentikan aplikasi itu daripada beroperasi dan me­ngumpulkan data baharu namun maklumat yang telah dihantar dan disimpan masih ada dalam pelayan Waze.

Ujarnya, pengguna yang mahu berhenti menggunakan Waze perlu memadamkan sejarah navigasi, lokasi tersimpan seperti rumah dan tempat kerja serta akaun mereka melalui saluran rasmi Waze.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengguna juga boleh mengemukakan pertanyaan lanjut mengenai data yang masih disimpan dan memohon kepada penyedia Waze untuk memadamkan data-data tersebut.

“Data lokasi lama masih bernilai jika ia menunjukkan rutin yang berulang. Sekiranya diperoleh pihak yang tidak sepatutnya, rekod perjalanan boleh dianalisis untuk menganggarkan tempat tinggal, tempat kerja, waktu keluar masuk dan lokasi yang kerap dikunjungi seseorang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Dr. Zubaile berkata, bagi pegawai yang mengendalikan urusan rasmi kerajaan, gabungan lokasi dengan masa perjalanan boleh memberikan petunjuk mengenai aktiviti tersebut.

Ujar beliau, Waze turut menyediakan fungsi laporan keberadaan polis atau pihak berkuasa berdasarkan pemerhatian atau perkongsian pengguna.

“Laporan atau perkongsian ini boleh memberikan petunjuk mengenai lokasi kehadiran penguat kuasa pada sesuatu masa.

“Daripada sudut keselamatan operasi, laporan berulang berpotensi membantu pihak tertentu mengenal pasti corak penempatan atau mengelakkan kawasan penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan NACSA, langkah yang diumumkan adalah la­rangan penggunaan ketika menjalankan urusan rasmi serta galakan untuk menyahpasang aplikasi.

“Ia merupakan kawalan terhadap penggunaan dalam perkhidmatan awam. Namun, sekatan akses seluruh negara memerlukan penilaian tambahan terhadap keberkesanan teknikal, kesan kepada pengguna dan kesediaan alternatif.

“Sekatan akses juga tidak memadamkan data yang sudah disimpan. Oleh itu, perlindu­ngan perlu merangkumi pengurusan peranti rasmi, kawalan kebenaran lokasi dan panduan jelas bagi perjalanan sensitif,” katanya.

Tambahnya, prinsip yang sama perlu digunakan terhadap semua aplikasi yang mengumpulkan lokasi.

“Aplikasi tempatan juga perlu dinilai dari segi keselamatan, penyimpanan dan perkongsian data,” katanya.

Semalam akhbar ini me­laporkan Waze yang dilarang penggunaannya dalam kala­ngan penjawat awam berkemungkinan akan diharamkan sepenuhnya daripada digunakan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tegas tersebut kini dalam pertimbangan kerajaan namun ia akan mengambil kira terlebih dahulu keupayaan aplikasi alternatif tempatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini