FAMA lancar Jualan Agro Madani berkonsep makanan Perlis

FAMA lancar Jualan Agro Madani berkonsep makanan Perlis

Penggemar Mangga Harumanis menunjukkan buah yang dibeli pada program Perlis Day @ Jualan Agro Madani di Ibu Pejabat FAMA Selayang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) semalam melancarkan Perlis Day @ Jualan Agro Madani di pekarangan Ibu Pejabat FAMA di Selayang dengan buah mangga Harumanis menjadi tumpuan pembeli.

Program tersebut yang dilancarkan oleh Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli , menyaksikan buah mangga itu dijual pada harga RM90 untuk setiap tiga kilogram.

FAMA dalam satu kenyataan memberitahu, jualan itu juga melibatkan penyertaan usahawan dan penawaran produk agromakanan dari negeri Perlis terutamanya Mangga Harumanis dan Perlis Sunshine.

“Seramai 26 orang usahawan menawarkan produk Industri Makanan dan Asas Tani serta makanan popular negeri Perlis yang juga memberi manfaat kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.

“Mangga Perlis Sunshine pula dijual pada harga RM10 bagi setiap empat kilogram,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga produk berasaskan Mangga Harumanis seperti pulut Harumanis, kordial Harumanis dan jualan makanan popular seperti Laksa Perlis.

Kenyataan itu memberitahu, pengeluaran Mangga Harumanis pada tahun ini adalah sebanyak 556.82 metrik tan (mt) berbanding tahun 2022 sebanyak
1,439 mt yang menyaksikan penyusutan pengeluaran sebanyak 58.74 peratus.

Sementara itu, FAMA menyasarkan 900 lokasi penganjuran Jualan Agro Madani di seluruh negara pada tahun ini dengan melibatkan seramai  9,000 orang usahawan dan nilai jualan mencecah sehingga RM13.5 juta. 

“Melalui Jualan Agro Madani, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.

“Fokus lokasi untuk Jualan Agro Madani adalah di kompleks atau pejabat kerajaan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan dan pinggir bandar,” katanya. 

Menurutnya, pelaksanaan Jualan Agro Madani dilihat sebagai salah satu program dalam membantu para pengeluar memasarkan produk secara terus kepada pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN