KUALA LUMPUR: Fenomena kemarau memberi kesan kepada sektor tanaman padi dan perikanan, namun pada masa sama memberi manfaat kepada pengeluaran buah-buahan tertentu termasuk durian yang mencatatkan hasil lebih tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa berusaha membantu menyerap lebihan hasil pertanian bagi menstabilkan harga pasaran, termasuk komoditi seperti sayur-sayuran dan durian.
Beliau berkata, pengeluaran durian yang tinggi tahun ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menikmati buah berkenaan pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Durian tahun ini terlalu mewah, ramai orang gembira kerana orang biasa boleh makan Black Thorn, boleh makan Musang King. Kalau sebelum ini kita tengok sebiji boleh mencecah RM70 hingga RM80, sekarang boleh dapat sekitar RM11.
“Kadang-kadang orang ini menderita, orang lain bahagia dan orang lain pula menderita. Itu perkara biasa yang kita lalui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang meminta kerajaan menjelaskan pelan tindakan kecemasan bagi menjamin keterjaminan makanan negara sekiranya fenomena Super El Nino menyebabkan kemerosotan hasil padi dan gangguan bekalan makanan serentak di rantau ASEAN sehingga menjejaskan import beras Malaysia.
Mohamad berkata, perubahan cuaca seperti kemarau panjang turut memberi kesan kepada jadual penanaman padi, khususnya di kawasan pengeluar utama seperti Kedah dan Perlis.
“Misalnya berlaku kemarau yang agak panjang di Kedah dan Perlis, penanaman padi sedikit diganjakkan waktunya akibat kelewatan. Pada mulanya kita mahu tabur secara kering, tetapi apabila berlaku hujan, kita kembali menanam secara biasa,” katanya.
Menurut beliau, ancaman fenomena cuaca ekstrem berkemungkinan lebih ketara terhadap sektor padi dan perikanan, namun bagi sektor buah-buahan, keadaan tertentu boleh meningkatkan hasil pengeluaran.
“Dalam kemarau yang begitu hebat pula, Harum Manis bertambah hasilnya. Perlis tahun ini mencatatkan pengeluaran Harum Manis yang agak tinggi. Jadi ancaman fenomena ini mungkin berlaku kepada padi dan perikanan, tetapi buah-buahan pula dijangka menghasilkan hasil yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










