PETALING JAYA: Penceramah bebas, Haris Ismail menitipkan pesanan penuh makna mengenai ketentuan takdir Allah susulan perkahwinan pasangan Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, malam tadi.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz berkata, setiap aturan Allah merupakan yang terbaik, bukan sahaja buat pasangan pengantin, malah semua individu yang pernah mahupun sedang hadir dalam kehidupan mereka.
“Hadir kami suami isteri pada perkahwinan BASS (Bella Astillah dan Syed Saddiq). Hanya satu yang ingin saya katakan, penyusunan Allah itu terbaik, bukan hanya untuk mereka.
“Akan tetapi, untuk kesemuanya yang pernah dan sedang ada,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Dalam pada itu, suami kepada selebriti terkenal, Neelofa itu turut berkongsi petikan hadis yang mengingatkan orang ramai agar sentiasa bersangka baik terhadap Allah memandangkan itu adalah kunci untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Perlu diingati secara bersama, sangkaan kepada Tuhan perlu baik-baik selalu kerana itu antara kunci takdir hidup yang baik. Hadis qudsi riwayat Bukhari,” jelasnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas Haris bersama isterinya menghadiri majlis perkahwinan Bella dan Syed Saddiq, malam tadi.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang dihadiri 3,000 tetamu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada malam Ahad.











