WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, tampil mempertahankan Ilhan Omar dan menyifatkan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump memperketat siasatan terhadap Ahli Parlimen Demokrat itu sebagai usaha terang-terangan untuk mengugut beliau.
“Prinsip asas demokrasi AS menetapkan bahawa kerajaan tidak boleh menyasarkan mana-mana individu secara terpilih semata-mata kerana pegangan politik atau kenyataan mereka.
“Perkara itulah yang secara jelas sedang dilakukan oleh pentadbiran Trump,” tegas Obama dalam hantaran berkenaan.
Ejen persekutuan baru-baru ini menggeledah kediaman Ilhan di Washington dan mengeluarkan sapina kepada ahli keluarganya pada Oktober, bagi meneliti sejarah keluarga beliau demi mencari bukti penipuan serta kenyataan palsu dalam dokumen imigresen.
Ilham dilahirkan di Somalia pada awal 1980-an dan keluarganya diterima masuk ke AS sebagai pelarian pada pertengahan 1990-an selepas melarikan diri daripada perang saudara.
Sejarah imigresen beliau telah disiasat oleh pihak berkuasa persekutuan selama lebih sedekad, namun siasatan tersebut tidak membawa kepada sebarang pertuduhan.
Beliau secara berulang kali menafikan sebarang salah guna atau pelanggaran undang-undang berhubung isu imigresen.
Dalam tempoh beberapa minggu sebelum pilihan raya, pegawai penguat kuasa undang-undang persekutuan biasanya mengelak daripada mengambil langkah siasatan secara terbuka seperti melaksanakan waran geledah dan mengeluarkan sepanduk saman yang boleh dilihat sebagai usaha membantu atau merugikan seseorang calon.
Tindakan penggeledahan dan sapina yang dibuat beberapa minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal serta ketika Presiden AS Donald Trump kerap menyerang Ilhan, telah menimbulkan persoalan sama ada siasatan tersebut dipercepatkan berikutan tekanan politik dari Rumah Putih.
Obama menegaskan perkara itu memang berlaku.
“Keseluruhan pengaruh dan kuasa kerajaan persekutuan sedang digunakan ke atas seorang wakil rakyat yang patuh undang-undang semata-mata kerana beliau berani mengkritik presiden,” tulis beliau. -AGENSI











