KANGAR: Dalam usaha mengelak lambakan durian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mengambil inisiatif mewujudkan tiga pusat belian sementara buah-buahan bermusim berkenaan.
Pusat belian tersebut bakal diwujudkan di kawasan utama pengeluaran buah berkenaan iaitu di dusun Bukit Air, dusun Batu Pahat dan dusun Bukit Manik, Beseri.
Pengarah FAMA negeri, Mohd Anzara Azizan berkata, pusat operasi Kangar yang bertindak sebagai hub pengumpulan utama hasil pertanian di negeri ini juga telah membuat belian terus durian kampung sebanyak 5.5 tan metrik dari Perak dan Kedah bermula 18 Jun lalu.
Anzara berkata, pihaknya turut merangka langkah proaktif lain dalam mengatasi lebihan pengeluaran durian sepanjang musim pengeluaran dari Jun hingga Ogos.
“Langkah berkenaan seperti menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri melalui penganjuran pesta buah-buahan tempatan Perlis di Sungai Batu Pahat pada 25 dan 26 Julai ini dengan penglibatan 10 usahawan buah-buahan bermusim.
“Selain itu, pelaksanaan kempen lebihkan makan buah-buahan tempatan sempena Piala Dunia Woodball yang bakal dilaksanakan di laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Unimap Kampus Pauh Putra pada 24 hingga 30 Julai ini.
“Berikutan berlakunya peningkatan pengeluaran hasil durian di seluruh Malaysia, FAMA Perlis menjalankan inisiatif pemasaran hasil pengeluaran durian sejajar Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 yang digerakkan secara proaktif di seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, durian yang sekian lama dianggap sebagai ikon pertanian Malaysia kerana nilai komersialnya yang tinggi kini berdepan lambakan bekalan sehingga menyebabkan harganya merudum malah ada varieti dijual serendah RM1 sekilogram.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Perlis turut mendapati harga durian varieti premium seperti Musang King menjunam pada harga RM10 hingga 15 sekilogram, manakala durian Black Thorn pula jatuh antara RM25 sehingga RM28 sekilogram.
Anzara berkata, antara langkah lain turut diambil dalam menangani isu itu adalah dengan mengaktifkan semula pusat pemprosesan buah-buahan segar FAMA di Beseri bagi memproses isi durian sejuk beku untuk pasaran kepada usahawan Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) yang terlibat dalam pengeluaran produk hiliran durian.
Katanya, outlet-outlet pemasaran FAMA juga berperanan dalam membantu mengatasi lebihan pengeluaran hasil durian melibatkan tiga buah Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Taman Guru Jaya, Kangar dan Jejawi.
“Sehingga kini hampir 160 tan metrik durian berjaya dipasarkan oleh GBBS berkenaan melibatkan beberapa jenis varieti seperti durian kampung, Musang King, Black Thorn dan pelbagai jenis lagi,” katanya.-UTUSAN










