BUKIT MERTAJAM : Usahawan agromakanan khususnya dinasihatkan supaya lebih bersedia termasuk berusaha untuk menyesuaikan strategi perniagaan mereka dengan kehendak pasaran ketika ini.
Pengarah Kanan Bahagian Pasaran Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Noorsham Ramli berkata, hal ini demikian kerana, krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global telah memberi kesan langsung terhadap rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing pasaran semasa.
Beliau berkata, pada masa yang sama, usahawan-usahawan ini juga disaran untuk mula meneroka pasaran alternatif yang berpotensi bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta daya tahan eksport perniagaan mereka pada masa depan.
“Saya melihat, isu yang paling besar dalam bidang pemasaran antarabangsa ini ialah masalah peningkatan kos bahan api atau kos logistik kerana kebanyakan produk (agromakanan) ini dihantar (dieksport) melalui kapal atau kapal terbang.
“Oleh itu, apabila kos terlampau tinggi, harga sudah tentu akan menjadi mahal dan apabila harga mahal, berkemungkinan pengguna tidak akan beli produk tersebut.
“Jadi, kita memang kita pantaulah benda ini. Kita beri nasihat dan terangkan kepada mereka (usahawan agromakanan serta petani) hampir setiap hari mengenai kemungkinan yang berlaku dan berharap mereka lebih bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Kursus Pemerkasaan Eksport dan Keusahawanan Global Siri 2: Globex China yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik di sini, hari ini.
Hadir sama pada siri kursus yang menarik penyertaan lebih daripada 50 usahawan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI), Azraie Ramli serta Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda.
Sementara itu, Choon Aik berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran kursus tersebut mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri ini sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang progresif dengan ekosistem keusahawanan yang matang dan sebagainya.
Katanya, kedudukan strategik Pulau Pinang sebagai pintu masuk perdagangan antarabangsa khususnya ke pasaran China juga menjadikannya sebagai lokasi yang amat sesuai untuk memperluaskan potensi eksport bagi produk agromakanan negara.
“Dalam hal ini, Pulau Pinang bukan sekadar sebuah negeri, tetapi, merupakan sebuah platform strategik yang menghubungkan produk tempatan dengan peluang global yang lebih besar dan lebih luas,” ujar beliau.-UTUSAN










