Khazanah perkasa kebolehpasaran belia melalui K-Youth

Khazanah perkasa kebolehpasaran belia melalui K-Youth

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke reruai Khazanah Nasional di Majlis Peluncuran Bakat MADANI baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIDAKTENTUAN ekonomi global yang semakin kompleks ketika ini menuntut Malaysia memperkukuh daya tahan negara bukan sahaja dari segi infrastruktur dan pelaburan, malah melalui pembangunan modal insan yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.

Perubahan yang berlaku dalam sektor tenaga, logistik, rantaian bekalan dan sentimen pelaburan menunjukkan kepentingan membina tenaga kerja lebih berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

Seiring dengan keperluan tersebut, usaha pembangunan bakat negara terus diperkukuh menerusi pelbagai pendekatan termasuk yang diterajui Kerajaan seperti peluncuran Bakat Madani baru-baru ini, sebuah inisiatif nasional yang menghimpunkan program pembangunan bakat oleh GLIC, GLC serta Petronas.

Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan dalam sektor-sektor strategik negara, sekali gus memastikan Malaysia mempunyai bakat yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Sebagai salah satu GLIC yang menyokong agenda pembangunan bakat negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) terus menyumbang kepada pembangunan modal insan menerusi program K-Youth yang dilancarkan pada tahun 2023 bagi melengkapkan golongan muda Malaysia dengan kemahiran, pendedahan industri dan laluan kerjaya yang lebih baik.

Sebagai institusi pelaburan strategik negara, Khazanah merealisasikan nilai daripada pelaburan yang telah mencapai tahap kematangan sesuai dan seterusnya memastikan pulangan yang dijana dapat dimanfaatkan dan disalurkan semula bagi menyokong agenda pembangunan negara dalam jangka masa panjang.

Ini termasuk pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu, pembangunan ekosistem industri serta inisiatif modal insan seperti K-Youth yang meningkatkan kebolehpasaran golongan muda. Pendekatan ini mencerminkan disiplin pelaburan jangka panjang, dan bukan keputusan kewangan jangka pendek.

“Pelaburan terbaik yang boleh dilaksanakan oleh sesebuah negara adalah pelaburan untuk pembangunan rakyatnya, terutamanya generasi muda.

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad

Menerusi pengurusan modal yang berdisiplin serta amalan penyaluran semula modal yang sistematik, Khazanah dapat merealisasikan nilai mampan daripada pelaburan yang matang untuk membantu agenda pembangunan negara, termasuk menyediakan modal insan yang terlatih, yang sekali gus mampu mempertingkat daya saing ekonomi negara,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

“Dalam keadaan geopolitik dan geoekonomi yang semakin ditakrifkan oleh daya tahan dan keupayaan strategik, kemampuan Malaysia untuk bersaing bergantung kepada ketersediaan generasi muda. Apabila belia dilengkapi kemahiran yang diperlukan oleh industri, kami bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, malah turut memperkukuh asas daya saing negara dalam jangka panjang,” katanya.

K-Youth dibangunkan berasaskan keperluan sebenar industri dengan matlamat mengurangkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan melalui latihan yang selaras dengan keperluan sebenar pasaran tenaga kerja.

Program berkenaan memberi penekanan kepada tiga hasil utama iaitu pekerjaan mampan, kesesuaian kemahiran dan peningkatan peluang bagi membantu peserta membina kerjaya lebih kukuh.

Bagi memastikan pembangunan bakat dilaksanakan secara menyeluruh, K-Youth mengguna pakai pendekatan pelbagai laluan yang merangkumi Accelerate, Nurture dan Optimise.

Laluan Accelerate memberi tumpuan kepada graduan yang belum mendapat pekerjaan dengan menyediakan latihan dan pendedahan industri bagi memperkukuhkan kebolehpasaran dan meningkatkan peluang mereka mendapatkan laluan kerja yang lebih baik.

Laluan Nurture pula menyasarkan pelajar yang masih belajar di institusi pendidikan tempatan agar mereka dapat mempersiapkan diri lebih awal sebelum memasuki alam pekerjaan.

Sementara itu, Laluan Optimise memberi fokus kepada pensyarah serta penasihat pusat kerjaya bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di institusi pendidikan, yang membantu memenuhi keperluan industri yang kian berkembang.

Sehingga kini, K-Youth telah membantu lebih 35,000 graduan menerusi pelbagai program latihan yang dirangka berdasarkan permintaan sektor industri. Pada tahun 2025 sahaja, K-Youth berjaya melatih 9,934 peserta, dengan 75 peratus daripadanya merupakan golongan daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan 84 peratus merupakan belia Bumiputera.

Antara sektor tumpuan dalam program tersebut ialah semikonduktor, penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), digital & teknologi, jentera & peralatan, dan hospitaliti & perkhidmatan, yang dikenal pasti sebagai bidang penting bagi pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Keberkesanan pendekatan itu dapat dilihat apabila sebanyak 85 peratus peserta Laluan Accelerate berjaya memperoleh pekerjaan dalam industri utama pada 2025, mencerminkan kepentingan latihan berasaskan permintaan industri dalam membantu golongan muda memperoleh kemahiran yang diperlukan majikan.

Pada masa sama, program itu turut membuka peluang kepada golongan muda daripada latar belakang yang kurang mendapat akses kepada latihan dan pekerjaan berkualiti untuk menyertai sektor bernilai tinggi.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke reruai Khazanah Nasional di Majlis Peluncuran Bakat MADANI baru-baru ini.

Pengarah Bersekutu Efficient Frontier Consulting, Seri Nurfahana berkata, program K-Youth itu telah membuka peluang kepada ramai peserta untuk membina kerjaya dalam bidang yang sebelum ini sukar ditembusi khususnya dalam industri yang lazimnya didominasi lelaki.

“Kami menerima begitu banyak mesej penghargaan daripada peserta K-Youth yang berkongsi bagaimana program ini telah membuka peluang dan mengubah kehidupan mereka.

“Satu kisah yang sentiasa terpahat dalam ingatan kami datang daripada program pembaikan dan operasi (MRO). Seorang wanita muda yang menamatkan kursus pembaikan dan pengecatan badan automotif pernah berdepan penolakan daripada banyak majikan hanya kerana jantinanya, ketika beliau berusaha mencari rezeki sambil menjaga ibunya yang uzur.

“Beliau kemudiannya menyertai program pengecatan pesawat kami sebagai satu-satunya peserta wanita dalam kohort tersebut. Hari ini, beliau bekerja dengan bangga sebagai jurucat pesawat dan membawa ibunya bersama ke mana sahaja tugas membawanya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERSOL Malaysia, Haida Tahir berkata, program K-Youth turut membuktikan bahawa latihan tersusun mampu melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja kompeten, malah berupaya melepasi jangkaan industri.

“Satu detik yang paling menonjol ialah apabila melihat seorang peserta yang pada awalnya mempunyai keyakinan teknikal yang amat terhad akhirnya bangkit mengetuai pasukan projeknya semasa ujian fasiliti.

“Walaupun berdepan cabaran yang tidak dijangka, beliau berjaya membimbing rakan-rakannya, menyelesaikan masalah teknikal yang kompleks dan menyiapkan tugasan lebih awal daripada jadual.

“Ia membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat serta latihan yang tersusun, belia kita bukan sahaja mampu memenuhi piawaian industri, malah mampu melangkauinya,” katanya.

Secara keseluruhannya, K-Youth membuktikan bagaimana amalan penyaluran semula modal dapat diterjemahkan kepada pembangunan kapasiti negara melalui usaha memperkukuh kebolehpasaran belia dan penyediaan bakat yang memenuhi keperluan industri.

Keupayaan Malaysia untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan bergantung kepada sejauh mana generasi muda dipersiapkan untuk menyertai sektor-sektor yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN