BUTTERWORTH : Program Jualan Agro MADANI (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mendapat sambutan apabila ia berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM67.11 juta sepanjang tahun ini iaitu setakat 20 September lalu.
Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 2,855 program JAM telah dilaksanakan di seluruh negara dan ia turut memberi manfaat kepada kira-kira 16.24 juta isi rumah.
“Program JAM juga berjaya menarik kehadiran sehingga 4.06 juta pengunjung dengan penyertaan daripada 46,611 usahawan setakat ini sekali gus menunjukkan bahawa inisiatif berkenaan menerima sambutan yang baik daripada orang ramai ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program JAM Mega Pulau Pinang 2026 yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol di Seberang Jaya, hari ini.
Pada majlis yang sama, Abang Ahmad Kerdee turut menyampaikan Geran Insentif FAMA berjumlah RM344,940 kepada lima penerima bagi menyokong pembangunan kemudahan pemasaran termasuk Pusat Pengumpulan Ladang (PPL), Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), Agrobazaar Kedai Rakyat (ABR) dan Pusat Agropelancongan Balik Pulau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, sebanyak 133 program JAM telah diadakan di Pulau Pinang setakat 20 September lalu daripada sasaran keseluruhan program iaitu sebanyak 168 sepanjang tahun ini.
“Secara keseluruhan juga, program JAM yang diadakan di Pulau Pinang bagi tempoh itu turut berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.3 juta dengan penyertaan daripada 1,584 usahawan,” ujar beliau.
Sementara itu, JAM Mega Pulau Pinang 2026 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu sehingga esok menghimpunkan seramai 61 usahawan menerusi 64 lot jualan dari pelbagai negeri dengan sasaran 25,000 pengunjung dan nilai jualan RM550,000.-UTUSAN











