PENGGUNA yang menikmati hidangan ayam lazimnya tidak mengetahui secara langsung proses yang berlangsung di rumah sembelih. Keyakinan mereka bergantung pada kejujuran dan pematuhan setiap pihak dalam rantaian bekalan.
Oleh itu, kes premis penyembelihan dan penjualan ayam yang diragui status halalnya tidak boleh dianggap sebagai persoalan sijil atau logo semata-mata. Pokok persoalannya ialah perlindungan hak awam sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid Syariah.
Dalam serbuan pada 30 Oktober 2026, pihak berkuasa merampas lebih daripada 6.5 tan ayam mentah yang dipercayai diproses tanpa mematuhi keperluan halal serta menahan 12 lelaki warga asing.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan bahawa ayam berkenaan dipercayai telah mati akibat renjatan elektrik dalam takungan air sebelum sempat disembelih kerana voltan yang digunakan melebihi had.
JAIS mengesahkan bahawa premis berkenaan tidak mempunyai rekod permohonan pensijilan halal dan tidak pernah menerima perakuan penyembelih.
Dari sudut maqasid syariah, kes ini menimbulkan tiga persoalan hak yang saling berkaitan.
Persoalan pertama berkaitan dengan pemeliharaan agama (hifz al-din) dan hak pengguna Islam untuk memperoleh makanan yang halal. Surah al-Ma’idah, ayat 3, mengharamkan bangkai, termasuk haiwan yang mati kerana dicekik atau dipukul, kecuali haiwan yang sempat disembelih.
Mufti Pulau Pinang menjelaskan bahawa ayam yang mati akibat renjatan elektrik sebelum disembelih tergolong sebagai bangkai. Pemotongan leher selepas kematian tidak mengubah hukum tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa individu yang memakan ayam tersebut tanpa mengetahui status halalnya tidak menanggung dosa. Namun, penjelasan hukum ini tidak melepaskan pihak berkuasa dan pengendali rantaian bekalan daripada tanggungjawab melindungi hak beragama masyarakat.
Persoalan kedua menyentuh pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs), khususnya hak masyarakat untuk memperoleh makanan yang selamat dan diproses mengikut tatacara yang beretika.
Hadis riwayat Muslim menjelaskan bahawa Allah menetapkan prinsip ihsan dalam segala perkara, termasuk kewajipan menajamkan pisau agar haiwan tidak terseksa. Tuntutan ihsan dalam penyembelihan turut meliputi kebersihan premis dan pengendalian makanan.
Dalam kes ini, pemeriksaan mendapati pengurusan kedua-dua aspek tersebut tidak mencapai tahap yang memuaskan.
Persoalan ketiga berkaitan dengan pemeliharaan harta (hifz al-mal), yang merangkumi hak pengguna untuk menerima maklumat yang benar dan berurus niaga dalam pasaran yang adil. Apabila membeli ayam, pengguna berhak menjangkakan bahawa produk tersebut benar-benar halal.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), menegaskan bahawa pengguna, khususnya umat Islam, berhak mengetahui status sebenar produk yang dibeli.
Hadis al-Nu’man bin Basyir menerangkan bahawa perkara halal dan haram adalah jelas, sedangkan di antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah.
Apabila rantaian bekalan tidak telus, keraguan tentang status halal bukan sahaja membebankan pengguna secara individu, malah menjejaskan keyakinan masyarakat secara keseluruhan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan bahawa pensijilan halal bersifat sukarela, manakala pengawalseliaan rumah sembelih melibatkan pelbagai agensi. Namun begitu, sebarang pernyataan atau gambaran bahawa sesuatu produk itu halal tertakluk pada Akta Perihal Dagangan 2011.
Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal), syarikat boleh didenda sehingga RM5 juta, manakala individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun.
Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal), syarikat pula boleh didenda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya. Peruntukan tersebut terpakai kepada pengusaha yang menggunakan label atau membuat tuntutan halal.
Namun demikian, wujud jurang pengawalseliaan bagi pengusaha yang tidak membuat sebarang tuntutan halal, tetapi membekalkan produk kepada pasaran yang majoriti penggunanya beragama Islam.
Mufti Pulau Pinang telah menggesa kerajaan mewajibkan pensijilan halal bagi pusat penyembelihan dan pemprosesan yang membekalkan produk kepada pasaran halal.
Cadangan tersebut wajar dipertimbangkan, tetapi keberkesanannya bergantung pada pemantauan yang berterusan selepas sijil diberikan.
Pada 2024, sebuah rumah sembelih ayam di Puchong didapati melanggar prosedur pensijilan, termasuk tidak menempatkan pemeriksa halal ketika proses penyembelihan. Susulan pelanggaran tersebut, status sijil halalnya dirujuk kepada pihak berkuasa untuk dinilai semula.
Kes tersebut memperlihatkan bahawa pensijilan semata-mata tidak memadai tanpa pemantauan berterusan terhadap pematuhan di premis.
Berdasarkan pertimbangan tersebut, pengawalseliaan rumah sembelih wajar disusun berasaskan tiga langkah yang saling melengkapi, iaitu pendaftaran, pensijilan dan pemantauan.
Pada peringkat pertama, semua rumah sembelih ayam yang membekalkan produk kepada pasaran umum hendaklah didaftarkan. Nombor pendaftaran perlu dinyatakan pada invois supaya setiap bekalan dapat dijejaki. Langkah ini penting bagi menjamin hak masyarakat untuk memperoleh maklumat.
Pada peringkat kedua, pengusaha yang membekalkan produk kepada pasaran halal hendaklah memperoleh sijil halal serta tauliah penyembelih yang sah. Keperluan ini melindungi hak beragama pengguna.
Pada peringkat ketiga, pihak berkuasa perlu menjalankan audit mengejut yang meliputi pemeriksaan rekod voltan kejutan elektrik dan kehadiran pemeriksa halal.
Perkongsian data antara Jakim, JAIS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan, KPDN dan Kementerian Kesihatan juga perlu diperkukuh.
Di samping itu, hukuman dan tanggungjawab undang-undang syarikat wajar dikaji semula bagi premis yang berulang kali mengabaikan notis penguatkuasaan. Pendekatan ini penting bagi melindungi hak kesihatan dan keselamatan masyarakat.
JAIS menasihatkan penyedia makanan dan pengguna supaya mendapatkan bekalan daripada pembekal yang memiliki sijil halal serta tauliah penyembelih yang sah. Status Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) hendaklah disemak melalui pangkalan data rasmi Jakim.
Pengguna juga wajar bertanya tentang sumber bekalan dan melaporkan sebarang perkara yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Penyebaran video tanpa pengesahan perlu dielakkan kerana perbuatan sedemikian boleh menzalimi pihak yang tidak bersalah.
Jaminan halal menuntut pematuhan yang berterusan pada setiap peringkat rantaian bekalan ayam, daripada penternakan dan penyembelihan hingga pengedaran kepada pengguna.
Ketelusan proses dan kebolehkesanan sumber bukan sahaja menentukan kesahihan sesuatu tuntutan halal, malah membina keyakinan masyarakat terhadap sistem pensijilan.
Oleh itu, pengawalseliaan yang berkesan perlu merangkumi pemantauan berterusan, perkongsian data serta penguatkuasaan yang tegas dan adil.
Tanggungjawab ini hendaklah dipikul bersama oleh kerajaan, industri, institusi akademik dan masyarakat supaya hak pengguna dilindungi selaras dengan matlamat maqasid syariah. – UTUSAN
PROFESOR Madya Mohd. Zakhiri Md. Nor ialah Felo Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Tadbir Urus Syariah dan Kewangan Islam, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM).









