GEORGE TOWN : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas di seluruh negara kekal mencukupi meskipun terdapat jangkaan berlaku kenaikan harga beberapa barangan makanan tertentu bermula bulan ini.
Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, ketika ini, FAMA juga belum menerima sebarang laporan berhubung kekurangan bekalan makanan asas seperti telur dan ayam di mana-mana negeri termasuk Pulau Pinang.
“Sekiranya terdapat lokaliti yang menghadapi masalah bekalan, FAMA bersedia membantu bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan setakat ini, kita belum menerima laporan yang serius mengenai kekurangan bekalan makanan di negara ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perasmian pembukaan outlet baharu Kopiesatu di Trend Mart & Cafe yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan Jualan Agro Madani yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Bagi tahun ini, sebanyak 5,000 siri jualan disasarkan di seluruh negara melibatkan FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Untuk pengetahuan, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, hampir 1,000 siri jualan telah berjaya dilaksanakan dengan sambutan yang sangat baik daripada pengguna,” ujarnya.
Tambah beliau, program Jualan Agro Madani akan terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah iaitu antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.-UTUSAN










