PETALING JAYA: Kira-kira 40,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sukar mendapat tempat untuk praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian mereka.
Ini kerana tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek.
Perkara itu sering dihadapi oleh pelajar bidang seperti kaunseling, sains dan teknologi yang jumlah kekosongan untuk menjalani latihan industri kecil serta tempoh latihan ditetapkan IPT yang pendek iaitu sekitar tiga hingga empat bulan dikatakan tidak menguntungkan syarikat.
Malah, sekiranya pelajar gagal mendapatkan tempat untuk menjalani latihan industri, penyelaras (wakil pensyarah) bagi setiap kumpulan pelajar akan memasukkan pelajar ke syarikat-syarikat tertentu, di mana kadangkala tidak menepati bidang yang dipelajari.
Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Muhammad Danial Alimin berkata, kekurangan syarikat yang menawarkan peluang kepada mahasiswa menjalani latihan industri menyebabkan berlakunya perebutan ‘tempat’.
Ini menyebabkan penghijrahan pelajar ke tempat lain untuk menjalani latihan industri, ia dilihat sebagai situasi yang membebankan terutama apabila mereka tidak dibayar elaun setimpal di samping terpaksa menanggung pelbagai kos untuk menyara diri sendiri.
Menurut beliau, masalah dihadapi pelajar IPT itu tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak kerana ia melibatkan jumlah yang besar dan latihan industri merupakan proses transisi kepada ‘dunia kerjaya’.
“Pihak kerajaan perlu menetapkan satu garis panduan kepada syarikat-syarikat apabila mereka menawarkan peluang praktikal kepada mahasiswa. Contohnya, penetapan satu kadar untuk dibayar kepada mahasiswa yang menjalani praktikal
“Kerajaan perlu menjalinkan hubungan yang baik dan sesi libat urus dengan pihak industri bagi memastikan tidak berlaku kes pelajar tidak dibayar elaun latihan industri.
Pihak kerajaan boleh wujudkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pihak IPT dengan syarikat menerusi persetujuan bersama itu. Namun, perlu jelas nyatakan fungsi, peranan dan tanggungjawab termasuk penempatan serta elaun pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhammad Danial berkata, kerajaan juga perlu memastikan pihak-pihak syarikat tidak sewenang-wenangnya menjadikan ‘latihan industri’ sebagai tiket untuk mengambil kesempatan kepada pelajar yang menjalankan tempoh praktikal.
“Sekiranya mahasiswa menjalani tempoh praktikal di sektor swasta, mungkin mereka diberi elaun bulanan yang kita sedia maklum amatlah tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup sepanjang praktikal seperti makan minum, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya.
“Manakala, untuk sektor awam atau kerajaan pula langsung tidak diberi sebarang elaun sepanjang tempoh praktikal,” jelasnya.
Tambahnya, bagi membuktikan kerajaan cakna dan peka terhadap permasalahan dihadapi mahasiswa, kerajaan wajar mewujudkan garis panduan yang membela nasib mahasiswa sepanjang menjalankan proses praktikal.
“Ini akan menimbulkan satu suasana yang kondusif kepada mahasiswa untuk lebih berdaya saing dan aktif dalam sama-sama membangunkan negara ini ke arah lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, antara perkara lain yang menjadi penghalang mahasiswa mendapatkan syarikat bagi menjalankan praktikal kerana tempoh latihan tidak memenuhi kehendak industri.
Jelasnya, terdapat industri merasakan mereka ‘rugi’ apabila mengambil mahasiswa yang menjalani tempoh praktikal sependek tiga bulan kerana sukar untuk mereka membentuk dan melatih dalam tempoh sesingkat tersebut.
“Pada saya, jangka tempoh latihan industri ni perlu disemak mengikut kehendak dan keperluan industri. Malah, memudahkan urusan pelajar dan membolehkan mereka mendapat peluang untuk diserap terus apabila tamat pengajian,” jelasnya.
Wan Amsyar turut mempersoalkan isu elaun pelajar praktikal yang sebelum ini pernah disuarakan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan, namun ketika ini penguatkuasaan dasar tersebut dilihat lemah.
“Apabila pelajar berada di dalam industri bermaksud kami juga bekerja, jadi syarikat seharusnya membayar elaun yang setimpal. Walaupun hanya praktikal tetapi perlu diakui tanggung jawabnya sama atau kadang-kadang lebih daripada pekerja biasa.
“Ini jelas tidak adil, kerajaan perlu cakna mengenai isu yang dihadapi pelajar-pelajar di dalam negara,” ujarnya. – UTUSAN










