KEMELUT yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi ujian sebenar terhadap makna kesetiaan dalam politik. Apabila Akuan Bersumpah (SD) digerakkan secara senyap dan serangan peribadi dilakukan secara terbuka, ia memberi isyarat wujudnya perebutan kuasa dalam parti.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), HARRIS IDAHAM RASHID, realiti politik moden menunjukkan sesebuah parti jarang tumbang kerana tekanan lawan tetapi kerana hilangnya disiplin organisasi dan keyakinan dalaman.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta jurufoto SADDAM YUSOFF, beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau menegaskan sejarah politik Malaysia menunjukkan pengkhianatan bermula dengan perhitungan senyap dan rasa tidak selamat yang perlahan-lahan menghakis organisasi dari dalam tanpa disedari.
UTUSAN: Sejauh mana sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang?
HARRIS IDAHAM: Apabila bercakap mengenai sokongan rakyat, kita belum mempunyai data pilihan raya sebenar untuk dijadikan ukuran. Apa yang ada hanyalah kajian persepsi awam.
Antaranya kajian Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menunjukkan Muhyiddin masih memperoleh peratusan tinggi sebagai pilihan perdana menteri, malah berada di atas Khairy Jamaluddin.
Malah institut itu juga mengakui terdapat peningkatan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika mahu kata MASA sebagai alat propaganda politik, sudah tentu perkara itu tidak akan diakui. Ini menunjukkan Muhyiddin masih relevan di mata rakyat buat masa ini.
Bagaimana kedudukan sokongan dalam parti selepas SD yang dikatakan berpihak kepada kem Datuk Seri Hamzah Zainudin?
Gerakan SD yang digerakkan oleh pihak tertentu cuba mengumpulkan sokongan sebanyak mungkin. Sekiranya jumlahnya benar-benar besar dan meyakinkan, sudah tentu angka sebenar diumumkan kepada umum.
Namun sehingga hari ini, jumlah tersebut tidak didedahkan dan ramai ketua bahagian termasuk saya tidak menerima SD untuk ditandatangani. Ini memberi gambaran sokongan yang berjaya dikumpulkan mungkin tidak sebesar yang digambarkan.
Majoriti ketua bahagian masih bersama presiden. Jika dilihat pada sayap parti pula, sokongan juga jelas.
Dalam Srikandi, hanya seorang pemimpin menunjukkan sokongan terbuka kepada Hamzah.
Kemelut dalaman parti menjejaskan imej Bersatu. Bagaimana mahu memulihkan kepercayaan rakyat?
Ramai pemimpin Bersatu terpaksa menumpukan masa menguruskan konflik dalaman serta kestabilan kepimpinan menyebabkan fokus terhadap isu rakyat menjadi terhad.
Kini keadaan berubah. Kepimpinan akan kembali memberi tumpuan penuh kepada perjuangan rakyat termasuk isu kos sara hidup dan pelbagai isu semasa yang dekat dengan masyarakat.
Apabila suara rakyat diperjuangkan secara konsisten, masyarakat akan melihat Bersatu kembali memainkan peranan sebenar sebagai pembangkang yang efektif. Beri sedikit masa untuk parti kembali kepada mandat asalnya.
Ada dakwaan Muhyiddin enggan melepaskan jawatan kerana mahu kembali menjadi Perdana Menteri. Komen?
Untuk memahami perkara ini, perlu melihat keputusan parti pada 2024. Ketika itu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memberi mandat kepada Muhyiddin membina pasukan kepimpinan yang stabil tanpa pertandingan sengit.
Konvensyen di Selayang mengumumkan struktur kepimpinan baharu dengan Muhyiddin kekal presiden sementara Hamzah menjadi timbalan presiden.
Tempoh penggal kepimpinan tiga tahun sehingga 2027. Hamzah sendiri memohon dan bersetuju bertanding timbalan presiden. Oleh sebab itu timbul persoalan apabila ada usaha untuk merubah kepimpinan sebelum penggal tamat.
Jadi dakwaan ‘gila kuasa’ tidak tepat kerana struktur tersebut adalah mandat parti yang perlu dihormati sepanjang penggal.
Pemecatan Hamzah dan beberapa pemimpin lain memberi kesan besar. Tidak takut hilang sokongan kepada parti?
Memang mereka mempunyai pengaruh tersendiri, namun parti mengambil keputusan (pemecatan) demi kelangsungan jangka panjang.
Bekerja dalam keadaan penuh konflik ibarat duri dalam daging atau api dalam sekam. Jika tidak ditangani segera, ia boleh melemahkan parti sedikit demi sedikit.
Bersatu memilih untuk membuat keputusan sukar bagi mengelakkan kerosakan lebih besar pada masa hadapan.
Peristiwa ini juga menunjukkan presiden masih mempunyai kawalan organisasi yang kuat.
Mampukah Bersatu bertanding dalam keadaan bergolak dalam PRN Melaka dan Johor?
Kekosongan yang ditinggalkan pemimpin lama sebenarnya membuka ruang kepada muka baharu. Ramai rakyat mahu melihat generasi kepimpinan baharu dalam politik Malaysia.
Dengan birokrasi yang lebih ringan di peringkat bahagian, Bersatu berpeluang menarik profesional dan individu berkualiti sebagai calon.
Jika dilihat isu kesetiaan pemimpin dalam Bersatu agak rapuh, tidakkah ia menghantar signal negatif kepada parti?
Dalam keadaan semasa, tidak dinafikan ada pihak yang berasa kecewa. Sebahagian masyarakat Melayu mungkin melihat pilihan semakin terhad, terutama bagi mereka yang tidak mahu menyokong kerajaan tetapi masih mengharapkan pembangkang sebagai alternatif. Namun kekecewaan itu tidak seharusnya berpanjangan kerana apa yang berlaku boleh dianggap sebagai proses pemulihan untuk menjadikan Bersatu lebih kuat.
Pergolakan dalaman sebenarnya berlaku dalam semua parti politik. Kali ini hanya giliran Bersatu menguruskan cabaran ‘rumah tangga’nya sendiri. Secara keseluruhan, pembangkang tidak terjejas kerana hanya satu parti yang sedang melalui proses penyusunan semula. Setelah urusan dalaman ini selesai, Bersatu kembali sebagai parti yang menjuarai suara rakyat.
Terdapat persepsi Muhyiddin sedang mempersiapkan laluan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengganti dalam kepimpinan parti. Komen.
Persepsi inilah yang mencetuskan kegelisahan dalam kelompok tertentu.
Apabila wujud kebimbangan seseorang mungkin menjadi pengganti masa hadapan, serangan politik mula tertumpu kepada individu tersebut.
Kita dapat melihat bagaimana tokoh yang rapat dengan kem Hamzah termasuk beberapa pemimpin kanan menyerang peribadi Mohamed Azmin secara terbuka dan keras. Tujuannya bagi membentuk naratif Hamzah merupakan calon paling sesuai untuk menggantikan presiden.
Di sinilah timbul persoalan lebih besar, adakah tindakan itu sekadar perbezaan pandangan politik atau didorong oleh rasa tidak selamat (insecurity)?
Apabila seseorang merasakan ruangnya semakin sempit untuk naik ke peringkat lebih tinggi, strategi politik boleh berubah menjadi lebih agresif. Sokongan mula dikumpulkan, ketua bahagian didekati dan blok tertentu cuba dibentuk bagi memperkukuhkan kedudukan masing-masing.
Ada juga pandangan apabila peluang untuk naik secara semula jadi semakin sukar, maka usaha menarik lebih ramai pemimpin bersama menjadi langkah untuk menekan kepimpinan sedia ada.
Namun akhirnya, isu sebenar berkait soal keyakinan terhadap masa hadapan parti. Rasa tidak selamat dalam perebutan masa hadapan kepimpinan inilah yang akhirnya mencetuskan ketegangan sehingga membawa kepada pemecahan.
Dalam politik, persaingan itu biasa. Tetapi apabila insecurity mengatasi disiplin organisasi, konflik menjadi sukar dielakkan.-UTUSAN










